Ahli keluarga dan kenalan rapat menguruskan jenazah Exco Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam di Tanah Perkuburan Raudahtul Sakinah Batu Caves, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 20 OGOS 2023.

GOMBAK – Daerah Bentong, negeri Pahang dan negara kehilangan seorang pemimpin yang baik dengan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, allahyarham yang dikenalinya merupakan kawan rapat yang bersifat merendah diri dan mereka selalu berjumpa.

“Bagi saya, saya kehilangan seorang sahabat. Sebagai sahabat saya lihat beliau seorang yang lemah lembut, tak pernah tinggikan suara bila bercakap. Jadi kehilangan beliau amat dirasai,” kata Ahli Parlimen Bera itu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah ketika memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham di sini hari ini.

Ismail Sabri turut berkesempatan bersama-sama melakukan solat jenazah di Masjid Saidini Hamzah di Jalan Batu Muda.

“Saya sepatutnya pergi Langkawi ada acara dan perancangan kalau dia tak balik kita nak kopi-kopi di sana. Bagaimanapun Allah berkuasa menentukan hidup mati kita.

“Secara tiba-tiba saya berada di pejabat dapat laporan kapal terbang beliau mengalami kecelakaan.

“Saya doakan agar Allah merahmati beliau, mencucuri rahmat dan meletakkan beliau dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Ismail Sabri sayu.

Johari merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Allhayarham antara 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor adalah tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketokohan dan pengalaman luas dimilikinya membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional, pada pilihan raya itu.

Anak jati Pahang yang dilahirkan pada 20 Januari 1970 itu adalah bekas pelajar Maktab Tentera Sungai Besi dan siswazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pembabitan beliau dalam bidang politik bermula secara rasmi apabila dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bentong pada tahun 2008 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 2018.

Beliau kemudian menerajui kepemimpinan UMNO Bentong selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan Mac lalu, mengambil alih tampuk kepemimpinan daripada Tan Sri Adnan Yaakob yang memilih untuk bersara daripada politik.-MalaysiaGazette