Syaiful Rizal (kanan) dan Junik Bajit menyerahkan sijil anugerah kepada penerima di Tenom.

TENOM – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 63 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di lapan sekolah menengah di sekitar Tenom bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat menara gading.

Dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini, YBR menyampaikan sijil dan insentif melibatkan pelajar cemerlang SPM dan SPTM dengan objektif membantu meningkatkan akademik serta memotivasikan mereka untuk lebih berjaya.

Penyerahan anugerah kepada pelajar disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2022 di sini.

Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Junik berkata, pihaknya mengambil berat membantu mereka yang berpotensi dalam agenda meningkatkan tahap pendidikan di kalangan pelajar khususnya di luar bandar.

Beliau berharap, bantuan itu dapat meringankan bebanan pelajar untuk memulakan pengajian di peringkat tertinggi serta sebagai pembakar semangat meneruskan kejayaan meningkatkan sosioekonomi keluarga.

Jelas beliau, usaha itu juga menjadi salah satu inisiatif dalam memastikan masyarakat sentiasa mendapat pendidikan terbaik serta membantu melahirkan golongan berilmu terutamanya di Sabah.

Dalam majlis sama, empat penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar Sabah turut menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR bagi memulakan pengajian atau untuk kegunaan menguruskan kelengkapan yang diperlukan.

Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, YBR telah menyalurkan peruntukan BAP sebanyak RM237,000 bagi membantu pelajar keluarga B40 menyambung pelajaran di IPTA mahupun di IPTS.

Sementara itu, seramai 334 pelajar cemerlang dari sekolah bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Penampang turut menerima BAP.

Melalui inisiatif itu, YBR telah memberi bantuan kepada penerima yang layak sebagai usaha memastikan pelajar yang kebanyakannya dari keluarga B40 meneruskan pembelajaran mereka.

Bantuan itu disampaikan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, dekat Penampang.

Jennie Lasimbang (kiri) bersama Philip Benedict (tengah) ketika menyampaikan BAP YBR kepada wakil pelajar SMK Bahang, Penampang.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Timbalan Pegawai PPD Penampang (Sektor Perancangan), Germaine Marcella Sikijip dan Syaiful Rizal.

Jannie dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada YBR atas bantuan bagi membantu golongan memerlukan khususnya di kalangan pelajar kurang berkemampuan.

“Usaha ini merupakan satu kerjasama yang padu bersama badan korporat, di mana ia merupakan titik permulaan yang baik dalam membantu mereka memerlukan, sekali gus membuktikan warga pendidik boleh berganding bahu bersama organisasi swasta lain untuk mencapai matlamat pendidikan.

Dalam majlis itu juga, Philip Benedict berkata, bantuan tunai itu diberikan kepada setiap pelajar yang berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Bagi meneruskan usaha dalam melestarikan matlamat untuk meningkatkan taraf pendidikan, bantuan ini merangkumi pelajar matrikulasi serta IPTA dan IPTS yang menerima BAP YBR,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan, Adriano Gatino, 18, berkata, pendidikan mampu mengubah nasib kehidupan keluarganya.

Selain itu, Norazlin Amit @ James, 20, pelajar Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu turut berkata, dengan bantuan itu, beliau dapat menggunakannya untuk membuat persediaan awal sebelum memulakan semester yang bermula tidak lama lagi.

“Terima kasih YBR kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast