Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah hari ini. foto BERNAMA

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pemimpin politik yang mengheret Institusi Diraja dalam ceramah pilihan raya, baru-baru ini.

Lebih dikesali apabila semakin terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap Institusi Raja dan Kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang melayu dan lain-lain bangsa.

“Sikap biadap mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Jangan kerana kita menyangka cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik.

“Malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas. Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun dalam khalayak ramai.

“Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah Baginda semasa Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Terdahulu seramai 11 Ahli Dewan Negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Exco Selangor baharu selepas PH-BN memperoleh 34 dari 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), 12 Ogos lalu.

Tambah Baginda, semua pihak perlu menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat dan menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.

“Beta menyeru kepada semua orang Melayu Islam di Selangor ini agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat Melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

“Beta perhatikan, politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.

“Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titahnya.

Titah baginda lagi, semua pihak perlu mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.

“Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan Selangor khususnya.

“Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menggesa semua pihak menggunakan platform media sosial dan semua aplikasi untuk perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat.

“Media sosial dan semua aplikasi teknologi moden hari ini tidak digunakan untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat,” titah Baginda lagi.