KUALA LUMPUR – MCA menggesa kerajaan menjelaskan isu kebocoran memo dalaman Jabatan Peguam Negara (AGC) yang disiarkan sebuah portal, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa parti itu, Neow Choo Seong berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara.

“Isu ini juga penting untuk dijelaskan kerana ia turut melibatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Arab Saudi dan UAE. Ini kerana syarikat IPIC adalah milik kerajaan Abu Dhabi, UAE.

“Sepertimana ungkapan yang kita sering dengar dan baca, keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook.

Jelas beliau, sehingga kini dokumen tersebut masih boleh diakses oleh orang awam.

“Dokumen bertarikh 10 September 2019 setebal 12 muka surat yang masih boleh diakses orang awam menerusi pautan https://drive.google.com/…/12aca3YFiYudBwCsu9oR…/view…& itu menyentuh tentang enam pertuduhan dikenakan terhadap Perdana Menteri ke 6, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Seperti yang sedia maklum, antara kandungan memo dalaman tersebut ialah merumuskan bahawa tiada kes untuk mendakwa Najib Razak, pertuduhan yang tidak memenuhi keperluan atau ambang minimum untuk dibawa ke mahkamah, tiada satu pun daripada 138 saksi yang ditemubual AGC berpihak kepada kes pendakwaan, tiada bukti dokumen yang memihak kepada kes pendakwaan, dan kes pendakwaan 1MDB-Petroleum Investment Company (IPIC) tidak patut diteruskan,” tambahnya.

Menurut Neow, dokumen berkenaan bukan hanya dibaca bahkan dinilai oleh seluruh rakyat secara keseluruhannya, sekali gus melihat perkembangan institusi perundangan dalam negara ini.

Baru-baru ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen yang didakwa memo dalaman oleh pasukan pendakwaan dalam kes IPIC yang tular di laman media sosial.

Katanya, sekiranya dokumen tersebut benar, AGC perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik balik enam pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib dan Mohd Irwan.-MalaysiaGazette