Gambar hiasan

DI Malaysia, asas-asas yang menjadi tonggak ajaran Islam itu berjalan serentak dengan pembentukan budaya dan cara hidup masyarakat Melayu. Hubungan ini diakui oleh pengkaji-pengkaji sosial yang mengkaji amalan dan nilai-nilai dalam cara hidup masyarakat Melayu. Pembentukan jati diri bangsa Melayu melalui pendekatan naratif hasil analisa daripada dokumen-dokumen sejarah dan dapatan-dapatan penyelidikan semasa. Hasil dapatan kajian menunjukkan, wujud hubungan yang signifikan antara Islam dan jati diri masyarakat Melayu. Lalu ini menghasilkan simbiosis di mana Melayu itu islam dan Islam itu Melayu.

Sikap campur tangan British dalam urusan Agama Islam dan ketuanan Melayu melahirkan reaksi pada persatuan -persatuan melayu. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. UMNO pun lahirlah secara rasmi. UMNO dianggap sebagai parti nasionalisme Melayu. Menurut perlembagaan parti ini, UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, Kebangsaan Melayu.

“Ketuanan Melayu” adalah satu konsepsi tentang supremasi politik orang Melayu di Malaysia. Dalam Bahasa Inggeris, konsepsi ini disebut dengan pelbagai istilah, antara lain Malay supremacy, Malay sovereignty, atau Malay dominance. Mengikut pandangan orang Melayu, ketuanan Melayu adalah satu hak Orang Melayu untuk berkuasa secara dominan dalam politik Malaysia. Adalah wajar jika Orang Melayu mendominasi politik Malaysia, kerana mereka adalah peribumi, pemilik tanah air, dan pewaris kekuasaan politik raja-raja Melayu.

Baru-baru ini, rakyat melihat UMNO kini tidak lagi menjadi parti politik utama masyarakat Melayu khususnya selepas keputusan dicatat dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Faktor semakin ramai orang Melayu menolak UMNO antara lain disebabkan kegagalan parti itu bersaing dengan parti Melayu lain, selain gagal mendekati dan meyakinkan orang Melayu di bandar. Sokongan Masyarakat luar bandar dan akar umbi sendiri telah beralih arah kepada Perikatan Nasional yang dilihat konsisten mempertahankan ketuanan Melayu. Mengapa perkara ini berlaku?

Jelas UMNO perlukan satu jawapan yang kukuh bagi meyakinkan orang Melayu untuk kembali mendekati parti yang sudah berusia 77 tahun ini. Perkara tersebut diperkuat lagi dengan penolakan yang cukup ketara pada PRU15 dan kemudiannya PRN di enam buah negeri baru-baru ini. Penolakan yang menyaksikan UMNO kini hanya tinggal 26 kerusi Parlimen dan hanya 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi di dalam PRN. Ianya merupakan satu isyarat jelas daripada rakyat terutamanya orang Melayu yang semakin merasakan bahawa UMNO bukan lagi sebuah parti yang boleh mereka harapkan untuk membela nasib mereka dan generasi akan datang. Di mana silapnya?

Adakah kerana UMNO masih lagi dilihat terus mempertahan agenda ‘Ketuanan Melayu’ sehingga menyebabkan golongan Melayu moden merasakan bahawa ianya merupakan satu perkara lapuk dan sudah ketinggalan zaman untuk terus di pertahan? Jika perkara tersebut hanya menjadi momokan kepada kaum bukan Melayu untuk menolak calon UMNO di dalam pilihanraya, maka boleh dikatakan ianya berasas. Kerana mungkin, konsep Ketuanan Melayu itu disalah erti dan menyebabkan mereka tidak mahu mengundi calon UMNO. Tetapi kita melihat dari konteks orang Melayu sendiri. Lebih parah, ahli dan penyokong tegar UMNO sendiri tidak mahu mengundi calon UMNO kerana mereka merasakan bahawa parti sudah menyimpang jauh dari perjuangan sebenar.

Akibatnya, di kala UMNO kehilangan banyak undi orang Melayu, parti Pas dan Bersatu dari Perikatan Nasional (PN) terus mendapat sokongan serta membina kekuatan sebagai persediaan bagi menghadapi PRU yang akan datang. Betul, kita baru sahaja menghadapi PRU15 pada November lalu tetapi jika tiada sebarang pelan atau tindakan susulan selepas kegagalan pada PRU15 dan PRN, tidak mustahil UMNO akan dikuburkan dan hanya tinggal sejarah. Apakah bila sudah tiba saat itu nanti, baru kita hendak merasa kesal dan meratapi nasib yang menimpa parti? Pastinya bukan itu yang dimahukan oleh nenek moyang kita yang mengasaskan parti keramat ini. Jadi apa yang perlu UMNO lakukan?

Ahli UMNO perlu kembali ke landasan asal perjuangan parti. Kepentingan parti perlu diberi keutamaan melebihi kepentingan peribadi. Kerana jika asasnya tidak betul, maka perjuangan hanya sekadar di mulut semata-mata. Parti juga perlu melakukan rombakan secara drastik di dalam barisan kepimpinan dan juga gerak kerja parti. Tiada lagi tempat untuk figura yang telah terbukti gagal apabila diberi peluang untuk memimpin parti baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri ataupun pusat. Parti perlukan pemimpin yang bukan sahaja tegas dan telus tetapi yang punya daya saing serta visi yang jelas untuk kembali membawa parti ke arah kejayaan.

Mantapkan setiap pemimpin di semua peringkat dengan ilmu kepimpinan dan politik yang matang bagi mengembalikan kepercayaan ahli serta masyarakat kepada pemimpin parti. UMNO tidak lagi boleh bertolak ansur dengan mana-mana individu yang punya ‘baggage’ dan rekod yang tidak baik selain mereka yang terlalu ekstrem. Oleh kerana kuasa dan jawatan, pemimpin-pemimpin parti lupa akan prinsip dan seterusnya mengheret parti dan juga ahli ke satu keadaan yang cukup tersepit. Kepimpinan tertinggi harus mendengar sama ada desakan ataupun anjuran dari kalangan majoriti akar umbi walaupun sesuatu itu adalah yang pahit untuk ditelan. Natijahnya, UMNO kini berhadapan dengan satu krisis yang boleh membawa parti kepada kehancuran!

Konklusinya, UMNO sudah diberikan ‘death sentence’ oleh orang Melayu termasuk ahli UMNO sendiri. Tiada lagi peluang buat UMNO selepas ini. Kerana jika keadaan masih sama, rakyat terutamanya orang Melayu akan menghukum UMNO dengan seberat-beratnya yang akan menyaksikan UMNO lenyap dari arena politik Malaysia. Kegagalan untuk melakukan apa-apa perubahan dan penambahbaikan, maka bersiap sedialah untuk UMNO menjadi tidak relevan kepada orang Melayu menjelang PRU16 nanti. Maka ketika itu, sudah tiada gunanya untuk kita menyalahkan mana-mana pihak kerana bukan pihak lain yang menghancurkan UMNO tetapi hanyalah tangan-tangan pemimpin UMNO sendiri. Tetapi jika UMNO berjaya melakukan perubahan dan kembali kepada perjuangan asal parti untuk menegakkan syiar Islam, membela nasib anak bangsa dan mempertahan kedaulatan tanahair, pasti sokongan orang Melayu akan kembali kepada UMNO. Selepas itu, tugas parti adalah untuk mendapatkan keyakinan orang bukan Melayu kepada parti agar BN kembali menjadi pilihan rakyat Malaysia dalam menentukan masa depan negara yang lebih cemerlang.

Berubah atau diubah!

 

Mu’izz Nasruddin
Ketua Penerangan, UMNO Bahagian Segambut

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast