ATHENS – Sebanyak 18 mayat telah ditemui di kawasan hutan di utara Greece yang dilanda kebakaran sejak empat hari lalu, kata perkhidmatan bomba.
Laporan awal mencadangkan mereka yang meninggal dunia itu mungkin pendatang asing.
Koroner dan pasukan penyiasat sedang menuju ke tempat kejadian di hutan Dadia.
Wilayah Evros di timur laut Greece, tidak jauh dari sempadan Turki, telah musnah akibat kebakaran.
Taman negara Dadia ialah kawasan berhutan besar di utara Alexandroupolis, dan kebakaran dipercayai merebak dengan cepat di sana sejak Isnin.
Mayat ditemui berhampiran perkampungan Avantas di timur laut bandar itu, kata laporan, ketika bomba memeriksa mayat di sebuah bangunan yang hangus.
Jurucakap bomba, Ioannis Artophios berkata, kemungkinan 18 mangsa yang ditemui pada Selasa telah memasuki Greece secara haram memandangkan tiada laporan kehilangan penduduk.
Wilayah Evros telah menjadi salah satu laluan paling popular untuk pendatang Syria dan Asia yang menyeberangi Sungai Evros dari Turki ke Kesatuan Eropah.
Hutan Dadia juga dikenali sebagai laluan yang digemari oleh pendatang.
Alexandroupolis, pelabuhan utama berhampiran sempadan dengan Turki, adalah salah satu daripada beberapa wilayah Greece yang menangani kebakaran hutan, dilanda angin kencang dan suhu yang dijangka mencecah 39 darjah Celcius pada hari Selasa.
Kebakaran juga sedang marak di tempat lain – di Pulau Evia dan di Boeotia di tengah Greece, yang mana penduduk di beberapa kampung telah dipindahkan. – Agensi