Fadillah Yusof meninjau gerai para peserta selepas merasmikan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada di Le Grandeur Palm Resort, Senai, di sini..

KULAI – Johor berpotensi menjadi hab industri hiliran untuk lada berikutan kedudukannya yang strategik dan dekat dengan Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, lokasi Johor yang berdekatan dengan Singapura turut memiliki pasaran yang luas terutamanya dalam industri pemprosesan makanan yang merupakan pasaran berpotensi untuk lada.

Katanya, apa yang penting, produk hiliran perlulah dihasilkan di Johor supaya menjadi produk Johor dan boleh dieksport ke luar negara.

“Di Malaysia, pengeluar lada paling besar ialah Sarawak, tetapi di Semenanjung, Johor mempunyai paling ramai pekebun kecil, justeru, Johor boleh jadi hab untuk industri hiliran (lada),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada di Le Grandeur Palm Resort, Senai, di sini.

Sementara itu, Fadillah berkata satu projek rintis menggunakan teknik pertanian pintar di Sarawak, telah dimulakan sejak tahun lepas, dalam usaha kerajaan untuk menambah baik kaedah penanaman sekali gus meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil.

Beliau berharap projek rintis itu akan berjaya dilaksanakan, seterusnya berpotensi untuk diperluaskan ke negeri lain.

“Salah satu fokus kita juga ialah penyelidikan dan pembangunan serta pendidikan, bukan sahaja untuk menghasilkan benih yang lebih sesuai dengan keadaan sekarang atau tingkatkan produktiviti tetapi pada masa yang sama dari segi kaedah penanaman.

“Ini kerana kalau lada ini ditanam di lereng-lereng bukit dan keadaan majoriti pekebun kecil kita agak berumur, dari segi tenaga untuk naik turun sama ada untuk menanam, meracun, memetik dan sebagainya, mungkin menjadi cabaran kepada mereka,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Terdahulu, Fadillah dalam ucapan berkata kerajaan prihatin dengan nasib pekebun kecil komoditi yang rata-ratanya terkesan daripada impak ekonomi yang melanda dunia.

Bagi menangani isu kenaikan harga input pertanian, katanya kementerian menerusi Lembaga Lada Malaysia, telah menyemak semula nilai bantuan, dengan meningkatkan bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 bagi setiap hektar berbanding RM26,000 bagi setiap hektar sebelum ini.

“Manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan kepada RM25,000 bagi setiap hektar berbanding RM13,000 sehektar sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata had pemberian bantuan juga telah dinaikkan daripada 0.5 hektar sebelum ini kepada sehingga 1 hektar untuk STLB dan dinaikkan juga daripada 0.2 hektar sebelum ini kepada sehingga dua hektar untuk STLM bertujuan untuk terus menggalakkan pekebun meningkatkan keluasan dan produktiviti pengeluaran tanaman mereka.

“Secara keseluruhannya, bantuan sebanyak RM1.14 juta telah diluluskan di bawah STLB dan STLM dengan jumlah keluasan tanaman seluas 47 hektar dan memanfaatkan seramai 241 orang pekebun,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, India dan Indonesia sekali gus industri lada negara mencatatkan prestasi membanggakan dengan merekodkan nilai eksport sebanyak RM181.4 juta pada 2022 berbanding RM153.5 juta pada 2021.

“Sehingga Jun 2023, nilai eksport lada negara sebanyak RM65.94 juta. Pencapaian ini saya kira amat membanggakan dan menjadi harapan kita semua, khususnya pihak kementerian, agar momentum ini dapat berterusan walaupun dalam keadaan yang mencabar pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast