KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pihak Pharmaniaga Logistic Sdn. Bhd. bagi memberi keterangan berhubung peralatan ventilator yang tidak dapat digunakan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, syarikat itu akan dipanggil bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit berhubung pembelian peralatan berkenaan yang sepatutnya digunakan ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 menyatakan Kerajaan mengalami kerugian lebih RM13 juta selepas 108 daripada 136 mesin ventilator baru yang ditempah pada 2020 tidak dapat digunakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Mas Ermieyati dalam kenyataan berkata, PAC telah menyambung prosiding berhubung Pengurusan Wabak Covid-19 yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 hari ini.
Ia adalah prosiding kedua membabitkan Pengurusan Wabak Covid-19 bermula pada pukul 9.36 pagi hingga 12.03 tengah hari.
Saksi yang dipanggil memberikan keterangan dan penjelasan dalam prosiding yang diadakan antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Datuk Seri Norazman Ayob.
Turut dipanggil bekas Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Chen Chaw Min dan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, bekas Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan bekas Ketua Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan KKM, Datin Seri Dr. Asmah Samat.
“PAC ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada saksi-saksi yang hadir pada hari ini terutamanya saksi utama yang telah bersara daripada perkhidmatan awam,” katanya.
Sebanyak 136 ventilator dibeli dengan nilai perolehan RM20.1 juta di bawah perolehan darurat.
KKM kemudian mendapati ada di antara mesin berkenaan tidak sesuai digunakan.
Kerajaan terpaksa membelanjakan RM3.97 juta lagi untuk kerja-kerja menaik taraf oleh syarikat yang sama.
Ini menjadikan jumlah kos keseluruhan perolehan ventilator meningkat kepada RM24.07 juta.
Selepas dinaik taraf, laporan mendedahkan hanya 28 ventilator dianggap selamat untuk digunakan kepada pesakit.
Daripada keseluruhan jumlah 108 ventilator yang ditempah 15 daripadanya telah dikembalikan kepada pengilang untuk penggantian manakala 93 ventilator tidak memenuhi ujian spesifikasi teknikal dan ujian prestasi dan kuantitatif.
Anggaran jumlah kerugian terhadap 93 unit ventilator yang tidak dapat digunakan adalah berjumlah RM13.07 juta .- MalaysiaGazette