Akmal Nasrullah (tiga kanan) bertanyakan sesuatu kepada penghuni Penjara Sungai Udang selepas merasmikan Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di di Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Seramai 3,000 penghuni penjara akan dilatih dan ditauliahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi dalam bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam untuk tempoh 10 tahun lagi.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.57 juta untuk pelaksanaan latihan kemahiran di semua 17 buah penjara terlibat di seluruh negara.

Menurutnya, inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia itu juga diharap dapat membantu bekas-bekas penghuni penjara membina kehidupan baharu selepas selesai menjalani tempoh pemulihan.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir

“Kita juga sedang merancang untuk perluaskan kerjasama ini dengan penghuni-penghuni di Sekolah Henry Gurney dan pusat-pusat pemulihan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“SKM yang kita reka di bawah program ini mempunyai beberapa tahap, iaitu tahap dua sebagai pekerja am dan boleh disambung kepada tahap tiga atau empat menjadi penyelia dan peringkat pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sinar Di Sebalik Tirai Besi Inisiatif Pensijilan Kemahiran Malaysia Bidang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Penjara Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, program itu juga diharap dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kira-kira 6,000 pekerja asing daripada keseluruhan 27,000 pekerja dalam sektor pembersihan awam di negara ini.

“Setakat ini, seramai 280 orang penghuni penjara di 17 Institusi Penjara di Semenanjung Malaysia telah terpilih bagi menyertai program yang pertama kalinya diadakan tahun ini bermula 1 Jun lalu yang diikuti selama lapan bulan dengan elaun sebanyak RM500 sebulan.

“Program latihan kemahiran secara teori dan amali ini membolehkan perantis didedahkan dengan skop berkaitan cara kerja, pengendalian peralatan dan pematuhan keselamatan mengikut standard enam aktiviti utama yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu Nordin berkata, pemilihan perantis program itu dibuat dalam kalangan mereka yang menjalani hukuman penjara kurang daripada lima tahun.

“Berdasarkan pengalaman kita melaksanakan dua bentuk program pemulihan, antara bersifat sebegini dan tidak menunjukkan kadar pengulangan jenayah mereka yang dibebaskan terus adalah 18.7 peratus.

“Maksudnya setiap 100 orang, 18 orang akan masuk semula ke penjara dalam tempoh tiga tahun selepas bebas berbanding melalui program ini, kadarnya cuma 0.24 peratus atau seorang bagi setiap 500 yang dibebaskan,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, Jabatan Penjara amat menyokong usaha dilakukan itu yang boleh melindungi masyaraakat daripada menjadi mangsa perbuatan jenayah berulang oleh banduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast