Peja
Ahmad Faizal Azumu

LUAHAN perasaan akar umbi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yang tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mula kedengaran sebaik sahaja pengumuman calon dibuat sebelum pilihan raya negeri (PRN).

Ramai yang merungut dengan pemilihan calon yang disifatkan sebagai tangkap muat dan tidak cukup ampuh untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Malah, salah seorang bekas pemimpin akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohammed Hafiz Baharuddin memprotes dengan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

Antara masalah yang dibangkitkan adalah calon yang terlalu berusia, tidak bersedia serta kurang berkemampuan dari segi kewangan dan akibatnya, gerak kerja PN sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan dilihat agak kucar-kacir.

Seperti yang dijangka, PN hanya mampu memenangi lima daripada 36 kerusi yang ditandingi iaitu di Paroi, Bagan Pinang, Serting, Gemas dan Labu.

Maka, timbul desakan daripada akar umbi PN agar Ahmad Faizal berundur daripada jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan bagi mengambil tanggungjawab atas kegagalan misi menawan Negeri Sembilan.

Antara yang lantang menyuarakan desakan itu ialah pemimpin muda Pas di Lenggeng, Zool Amali Hussin yang mahu PN Negeri Sembilan diterajui oleh anak jati negeri berkenaan.

Semalam, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin secara berlapik menyuarakan kekesalannya kerana tiada pemimpin yang mengambil tanggungjawab atas prestasi PN yang kurang memberangsangkan.

Tidak diketahui sama ada PN Negeri Sembilan telah selesai melakukan post-mortem pasca PRN kerana Ahmad Faizal yang lebih mesra dengan gelaran Peja masih belum membuat sebarang pengumuman tentang perkara itu.

Sebagai ‘panglima import’, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu seharusnya bertanggungjawab atas kegagalan itu dan berjiwa besar dengan memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui PN Negeri Sembilan.

PN Negeri Sembilan tidak ketandusan pemimpin muda yang boleh diketengahkan untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran seterusnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Antaranya, Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus yang perwatakannya lebih disenangi dan lebih mudah diterima oleh akar umbi Bersatu, Pas dan Gerakan di negeri itu.

Sekiranya suara akar umbi tidak diendahkan, kemungkinan besar prestasi buruk PN pada PRN Negeri Sembilan akan berulang pada PRU16.

Tidak mustahil situasi itu akan memberi ruang kepada gabungan PH-BN menyapu bersih kesemua lapan kerusi Parlimen dan mungkin juga 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette