Persekitaran pintu utama Istana Negara.

Artikel ini daripada surat pembaca Malaysia Gazette

Lim Bapa

PADA 1 Nov 2022, Lim Bapa mengolah satu retorik; “Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia, bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia”. Laporan malaysiakini.

Retorik ini hanya mahu bersaing dengan retorik “Ketuanan Melayu” oleh UMNO. Namun, tanpa disedari, retorik Lim Bapa mendedahkan niat beliau yang menganggap Malaysia masih tidak cukup majmuk. Malah cadangan beliau itu seolah-olah negara yang merdeka sejak 1957 ini, tidak bertaraf dunia.

Pada 9 Ogos, Lim Bapa dilaporkan oleh NST dengan ungkapan ‘beliau berharap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun sebelum seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri.

Lim Bapa memberi contoh “Di Amerika Syarikat, seorang lelaki kulit hitam, Barack Obama, menjadi Presiden Amerika Syarikat – tetapi ini berlaku kira-kira 230 tahun selepas penubuhan Amerika Syarikat pada 1776.

Lim Anak

Pada 12 Mei 2018 Lim Anak berkata di Facebook miliknya “Saya tidak menganggap saya sebagai bangsa Cina, saya ialah rakyat dan bangsa Malaysia.”

Ini satu jawapan bijak yang selari dengan retorik Lim Bapa yang bertanya soalan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin samada bersediakah dia (Muhyiddin) mengisytiharkan dirinya ‘Malaysian 1st or Malay 1st”. Ini laporan media Malaysiakini pada 16 Feb 2021.

Kemudian, pada 27 Okt 2022 seperti yang dilaporkan oleh Twitter (X) Astro Awani, Lim Anak berkata “Kalau kita nak negara maju ke hadapan, jangan kita masih terjerat dengan isu kaum dan agama,” kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. Beliau beri contoh Rishi Sunak berketurunan India boleh menjadi Perdana Menteri Britain.

Siapa layak jadi PM

Tidak salah mana-mana parti atau ahli politik menyimpan hasrat mahu calonnya menjadi perdana menteri. Niat itu sesuai dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika anak Kassim, anak Openg, anak Murugan, anak Lim sekalipun, terasa nak jadi PM, ia boleh dan tidak menyalahi mana-mana undang-undang di Malaysia.

Seseorang yang mahu menjadi PM, perlulah menang pilihan raya menjadi seorang ahli Parlimen dan mendapat sokongan majoriti dewan rakyat yang kuat dan meyakinkan hingga mendapat ‘perkenan’ Yang di-Pertuan Agong.

Di atas kertas, syarat untuk menjadi PM ini cukup mudah, namun realiti di lapangan adalah sebaliknya; kompleks.

Seseorang yang mahu menjadi PM perlukan sebuah mandat, mandat ini bukan hanya sekadar angkat tangan menyokong, tetapi mandat itu datang dari keabsahan dimana ; seseorang itu jelas kiblat atau ideologi politiknya, diyakini integritinya dan diyakini identiti budaya hidupnya.

Perkara-perkara ini tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan atau syarat memegang jawatan PM, tiada. Tetapi perkara tersebut wujud dalam dunia realiti yang berlapis-lapis dan bersimpang siur ini.

Menilai kembali contoh yang diberikan oleh Lim Bapa dan Lim Anak, iaitu Obama (Presiden Amerika) dan Rishi Sunak (Perdana Menteri British). Dua tokoh berketurunan imigran ini dengan mudah kita mengenali identiti mereka sungguhpun susur keturunannya bukan watan.

Akidah politik mereka diterjemah dengan ketara pada karisma mereka menerusi bahasa, gaya dan identiti budaya hidup mereka yang ‘mewatan’.

Obama bercakap bunyi ‘American English’, Rishi Sunak bercakap bunyi ‘Brit English’, bukan Inggeris dialek India. Ini belum dilihat lagi dengan gaya dan budaya hidup Obama ‘American life style’ dan Rishi ‘British Essence – British People’.

Bahasa Inggeris itu bahasa watan di tanah British dan Amerika di mana agenda ‘American Dream’ diterjemahkan dalam kerangka politik, ia bukan sekadar bahasa lulus peperiksaan seperti di Malaysia.

Identiti dan karisma mereka sebagai pemimpin, jelas membumi dengan budaya watan, watan British itu ‘Orang British’, bukan majmuk.

Identiti Obama dan Rishi ini cukup jelas hingga anak-anak watan menerima mereka sebagai orang yang mempunyai persamaan identiti dengan mereka.

Inilah yang dimaksudkan oleh Tun Mahathir. Pada 9 Julai 2023, Tun M berkata “Hari ini kita lihat sekarang migran, ramai orang daripada Afrika, negara Arab, India dan Pakistan berhijrah ke Eropah. Akhirnya mereka menjadi penduduk Eropah. Seperti di Britain, Jerman, Perancis dan lain-lain. Apakah dengan kedudukan mereka di situ maka negara itu tak lagi menjadi Britain, Jerman, Perancis, dan lain-lain? Apakah mereka ditukar menjadi negara berbilang kaum. Tidak.”

Cita-cita

Mereka yang bercita-cita nak jadi PM ini akan diteliti dari mana partinya, apa ideologi partinya, rekod aktiviti partinya dan apa akidah politiknya.

Di sini saja, retorik Lim Bapa dan Lim anak ini boleh dinilai. Parti dan pemimpin-pemimpin mereka sendiri gagal berasimilasi dengan budaya dan identiti watan. Lihat isu-isu politik yang dibangkitkan sejak sekian lama, itu belum dinilai bahasa pengucapannya mereka lagi. Semuanya tidak ‘mewatan’.

Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang dilihat oleh Lim, mampu merealisasikan retorik negara ‘majmuk’ beliau. Kini UMNO juga sudah mejadi sahabat DAP, maka UMNO harus mengiktiraf “Ketuanan Malaysia” yang diangkat oleh Lim, sebagai tanda keakraban persahabatan dengan DAP.

Mahdzir Ibrahim
Sekretariat Tanah Air

 

Artikel ini memaparkan pandangan pembaca dan tiada ada kena mengena dengan pendirian portal kami. – MG

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast