Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan memberikan kenyataan mengenai dakwaan pembekuan akaunnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut sumber, kenyataan itu akan dijawab Hamzah hari ini selepas satu laporan media yang mendakwa pembekuan aset itu turut dilakukan terhadap ahli keluarga terdekat Ahli Parlimen Larut itu.

“Insya-Allah esok Datuk Seri Hamzah (akan) buat kenyataan,” katanya ringkat kepada MalaysiaGazette malam ini.

Portal Scoop.my hari ini melaporkan LHDN telah membekukan aset Hamzah dan ahli keluarga terdekatnya.

Perkembangan ini dipercayai sebahagian daripada siasatan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hamzah dalam kertas pertuduhan kes rasuah RM15 juta.

Pada Jun lalu, kediaman Hamzah di Damansara di sini telah diserbu oleh pegawai LHDN dan turut merampas beberapa dokumen.

Hamzah pada Mei lalu mengesahkan beliau dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau menyatakan, keterangan berkenaan dilakukan susulan pertuduhan ke atas ahli perniagaan, Sim Choo Thiam di mahkamah.

Hamzah mendakwa, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya itu jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Malah pada 11 Ogos lalu, Hamzah telah menghantar surat yang sama kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Dalam surat itu, Hamzah menuntut parti-parti itu segera berhenti dan berhenti daripada ‘bertindak mengikut cara politik partisan’ kerana penjawat awam adalah ‘pelindung bersumpah hak perlembagaan rakyat’ dan tidak boleh melanggarnya.

Surat tuntutan itu juga termasuk amaran jika pelanggaran seperti itu berterusan, prosiding undang-undang akan dimulakan untuk mendapatkan pampasan bagi sebarang kemudaratan yang dialami Hamzah serta untuk melindungi dan memulihkan reputasinya. – MalaysiaGazette