Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas membantu calon Barisan Nasional (BN) N.08 Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkempen sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Naka, Kuala Nerang, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2023.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Keadilan Malaysia kecewa dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang memandang remeh akan tindakan petugas Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merampas dua naskhah buku di Toko Buku Rakyat, Wisma Central di sini baru-baru ini.

Hal ini terlihat jelas apabila Saifuddin berkata; “kami pergi ambil dua buku sahaja, bukan satu kedai”.

Kedua-dua buku itu bertajuk “Marx Sang Pendidik Revolusioner” tulisan Robin Small dan “Koleksi Puisi Masturbasi” tulisan Benz Ali.

“Kami memandang rampasan buku tidak kira dalam kuantiti kecil atau besar adalah satu bentuk jenayah dalam dunia intelektual yang tidak boleh dipandang ringan.

“Asas paling utama sekali bagi sesebuah negara yang bercita-cita untuk melahirkan masyarakat Madani adalah dengan menghidupkan budaya pewacanaan yang lebih terbuka dan sihat. Dengan cara itu, masyarakat Madani akan lebih cerdik serta tidak mudah untuk diperbodohkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahasiswa Keadilan, kerajaan seharusnya mewujudkan suasana lebih kondusif kepada masyarakat agar mereka lebih bermandiri dalam mengenal fikrah dan pemikiran.

Sikap mengongkong demi menjaga pemikiran masyarakat hanya akan melahirkan masyarakat jumud dan rigid serta simplistik dalam menilai sesuatu perkara hingga akhirnya hanya akan merugikan sebuah kerajaan yang optimis ingin melahirkan sebuah negara Malaysia Madani, katanya.

“Memiliki karya Karl Marx contohnya tidak boleh dipandang sebagai satu dosa. Ada idea-ideanya yang banyak membantu kita dalam memahami isu perlawanan antara kelas serta eksploitasi kapitalisme tanpa perlu menjadi komunis. Tokoh-tokoh seperti Syed Hussein Alatas, Chandra Muzaffar, Ahmad Boestamam, Haji Misbach, Kassim Ahmad dan Gus Dur ada mengambil manfaat dari Idea Marxist.

“Kami ingin mengingatkan kembali ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu; “Karya-karya besar mesti ditelaah oleh golongan muda hari ini bagi melawan kebebalan dan mencambah daya fikir yang kritis”.

“Jangan kebebasan membaca karya-karya besar itu hanya terkumpul pada golongan atasan sahaja. Ilmu harus dirakyatkan kepada seluruh masyarakat Malaysia Madani,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast