20 penyokong Kedah FC dan Penang FC direman bagi membantu siasatan bergaduh di luar stadium selepas perlawanan Liga Super mambabitkan pasukan itu pada Selasa lalu.

GEORGE TOWN – 20 lagi penyokong Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC direman hari ini bagi membantu siasatan bergaduh di sebuah stesen minyak selepas perlawanan akhir Liga Super pada Selasa lalu.

Kesemua lelaki berusia 18 hingga 38 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama.

Perintah reman sehingga 26 Ogos itu dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di Mahkamah Majistret George Town kira-kira jam 9 pagi dalam keadaan tangan bergari.

Kesemua mereka diberkas dalam serbuan berasingan sekitar Pulau Pinang.

Difahamkan, kesemua suspek itu ditangkap secara berasingan di sekitar negeri ini susulan daripada tangkapan pertama membabitkan tujuh lelaki di stesen minyak berkenaan semalam.

Media semalam melaporkan, tujuh lelaki termasuk dua dalam keadaan cedera di kepala ditahan polis susulan bergaduh di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 500 meter dari Stadium Bandaraya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan lanjut mendapati pergaduhan itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium selepas tamat perlawanan bola sepak (Liga Super).

Selain tangkapan, polis turut merampas dua biji batu dan kon keselamatan serta sebatang kayu yang dipercayai diguna ketika kejadian. – MalaysiaGazette

 

Tujuh penyokong Penang FC, Kedah FC ditahan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast