Polis menahan tujuh penyokong bola sepak tempatan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Polis menahan tujuh lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan membabitkan penyokong Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di sini, semalam.

Kejadian jam 11.20 malam di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 500 meter dari Stadium Bandaraya itu turut mengakibatkan dua daripada suspek yang ditahan itu cedera di kepala akibat terkena balingan batu ketika pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 38 tahun.

Antara barang yang dirampas polis.

Kata beliau, masing-masing mereka berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bergegas ke lokasi bagi mengawal keadaan.

“Susulan itu, kita membuat tangkapan selain merampas dua biji batu dan kon keselamatan serta sebatang kayu yang dipercayai diguna ketika kejadian.

“Selain itu, cermin pintu bas yang membawa penyokong pasukan Kedah turut pecah akibat ditumbuk seorang suspek,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Soffian, hasil siasatan lanjut mendapati pergaduhan itu berpunca daripada provokasi antara kedua-dua penyokong di luar stadium selepas tamat perlawanan bola sepak (Liga Super).

Cermin pintu bas penyokong Kedah turut dipecahkan dalam insiden tersebut.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif daripada pengambilan bahan terlarang serta tiada rekod lampau.

“Kesemua tujuh suspek itu ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan berikutan merusuh serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Soffian menasihatkan orang awam agar tidak menularkan rakaman video berkaitan insiden bagi mengelak sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette