KULAI – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mengambil hati pengundi Melayu di Johor khususnya Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK), September depan.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu, gelombang Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan akan menular ke Johor merupakan angan kosong pembangkang.
“Saya tidak mahu komen hak orang lain biarlah mereka komen sesama mereka biar kita dengan kita sahaja.Saya nak bagi tahu yang kami ambil tahu cerita kami sahaja.
“Saya yakin dengan kehadiran rakan kita daripada BN hari ini mereka akan berpadu tenaga dengan baik dan saya yakin kita akan menang dan soal majoriti saya tak mahu letak lebih tetapi Insya-Allah kita akan menang di kedua-dua tempat. Insya-Allah,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media majlis Pengenalan Calon Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau tidak nampak rakyat terlalu obses pada Perikatan Nasional (PN) atau Pas dan yakin pengundi Melayu kekal setia bersama Perikatan Harapan (PH).
Katanya, pandangan undi orang Melayu akan beralih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini hanya tanggapan pembangkang.
“Tiada startegi khas di mana startegi kita adalah menemui rakyat dan minta undi calon kita. Pengundi Melayu bersama kita,” ujarnya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gelombang PN yang melanda beberapa negeri ketika PRN lalu dijangka berulang di Johor dengan kemasukannya bermula dari Muar sebelum berakhir di Johor Bahru.
Beliau berkata, DUN Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk serta pencetus kepada gelombang PN sebelum bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette