Foto Facebook Baddrol Bakhtiar.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Baddrol Bakhtiar merakamkan penghargaan kepada semua pihaknya yang terlibat dalam apa jua urusan pemergian Allahyaharham bapanya, Bakhtiar Md Isa semalam.

Beliau juga mengucap terima kasih kepada mereka yang memberikan ucapan takziah, dan doa kata-kata semangat selain bantuan dan sumbangan tenaga untuk pengurusan pengangkutan dan pengkebumian jenazah bapanya.

“Terima Kasih tak terhingga juga kepada YB, Tuan Guru,Dato’, Datin,Ustaz, Ustazah, Sahabat serta seluruh muslimin dan muslimat yang hadir menziarahi bapa saya pada hari ini.
“Dengan doa dari anda semua, mudah-mudahan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham bapa kami dan seterusnya ditempatkan bersama-sama dengan roh golongan orang yang beriman.
“Kami seisi keluarga juga mendoakan semoga anda semua akan sentiasa dalam perlindungan-Nya, diberikan keberkatan, dilanjutkan usia, dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan hidup seharian. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa baik anda semua. Aamiin,” tulis di Facebook miliknya.

Semalam, pemergian Bakhtiar yang menghembuskan nafas terakhir di usia 62 tahun itu dimaklumkan di laman rasmi Facebook bekas pemain bola sepak Kedah dan Sabah FC tu.

Arwah meninggal dunia di kediamannya di Cinta Sayang Resort Villa, Sungai Petani, Kedah pulul 6.04 pagi.

Baddrol sempat mendapatkan restu dan doa daripada ayahnya memohon agar dipermudahkan urusan sebelum PRN lalu.

Berdasarkan laporan media, Allahyarham baru selesai menjalani pembedahan berkaitan penyakit angin pasang dan Baddrol turut menemani bapanya untuk menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani sejak beberapa hari lalu.

Jenazah selamat dikebumikan selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Islam Masjid al-Busyra, Merbok.

Hubungan Baddrol itu dengan ayahnya sangat akrab.

Ketika hendak mengundi pilihan raya negeri baru-baru ini,  bekas pemain Harimau Malaya itu sempat mendapatkan restu dan doa daripada ayahnya  agar dipermudahkan urusan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, bekas pemain tengah Harimau Malaya itu memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh 17,771 undi menewaskan pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari (11,187).

Baddrol yang mewakili Pas di bawah payung Perikatan Nasional (PN) itu berhasil merampas kerusi tersebut daripada penyandangnya Datuk Johari Abdul yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana menerima tawaran sebagai Speaker Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette