Sofyan Amrabat. Foto BBC.

LONDON – Kelab Serie A, Fiorentina kini terdesak menjual Sofyan Amrabat apabila memberi amaran kepada kelab yang berminat dengan pemain tengah itu agar membuat tawaran rasmi dalam tempoh maksimum tiga hari.

Laporan media mendedahkan sekiranya tiada tawaran rasmi dibuat maka status pemain berusia 26 tahun untuk dijual bakal ditarik balik daripada senarai jualan semasa.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano turut memberitahu Manchester United antara kelab yang berminat itu perlu menunggu dahulu penjualan Donny van de Beek.
“United dilaporkan masih menjadikan Amrabat sasaran utama tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk perpindahan ini.
“United kini dilaporkan mengalami masalah kekurangan dana disebabkan pembelian Rasmus Hojlund.
“Laporan itu menyebut bahawa baki dana perpindahan mereka pada masa ini sangat tipis di mana United perlu menjual sekurang-kurangnya seorang lagi pemain supaya mereka boleh mendapatkan Amrabat,” katanya.
Sebelum ini, United dikatakan bersetuju dengan permintaan terma peribadi bersama Amrabat, menurut laporan di Itali.

Amrabat menarik perhatian kelab ternama di Eropah selepas menyerlah bersama Maghribi pada Piala Dunia musim sejuk di Qatar 2022.

Liverpool antara yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah itu, yang beraksi 49 perlawanan musim lalu.

Namun menurut Violanews, United sudah memuktamad perjanjian peribadi dengan pemain itu tetapi kini perlu berunding dengan Fiorentina mengenai bayaran perpindahan. – Agensi