Nik Saiful Adli Burhan

KUALA LUMPUR – Memperkenalkan mana-mana bahagian dalam ajaran Islam dan implementasinya dalam sistem pendidikan tidak sesekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan mahupun undang-undang berkaitan sistem pendidikan termasuk Akta Pendidikan 1996.

Timbalan Pengerusi Tetap Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan modul 40 Hadis Imam Al-Nawawi itu adalah untuk mengimplementasikan nilai murni yang terdapat dalam hadis tersebut.

Kata beliau, secara amnya hadis itu menghimpunkan panduan kehidupan yang bukan menjurus kepada ibadah umat Islam semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan moral dan nilai murni kehidupan manusia pelbagai agama dan kefahaman.

“Antaranya, hadis pertama berkenaan niat yang baik, hadis ke 13 berkenaan kasih sayang sesama saudara, hadis ke 15 berkenaan berbuat baik kepada jiran tetangga dan banyak lagi hadis yang dihimpunkan Imam Nawawi sebagai panduan kehidupan.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha kementerian dalam meningkatkan pendidikan moral dan nilai murni kehidupan, bukan semata-mata menjadikan sijil akademik sebagai matlamat utama pendidikan di sekolah.

“Saya menyeru semua pihak termasuk yang mewakili agama lain agar berlapang dada dalam menilai langkah diambil Kementerian Pendidikan supaya keharmonian dan perpaduan kaum dalam negara ini terjaga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) dilaporkan membantah sebarang tindakan untuk memperkenalkan subjek berkaitan hadis di semua sekolah di seluruh negara.

MCCBCHST berkata, mereka “sangat bimbang” dengan pelancaran modul “40 Hadis Imam Al-Nawawi”.

Portal berita The Malay Mail sebelum ini melaporkan modul itu akan dilaksanakan di sekolah menengah agama kerajaan dan bantuan kerajaan sebelum diperluaskan kepada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan tahun depan.

Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan berkata, sistem pendidikan negara ini mampu memberi manfaat menyeluruh kepada kehidupan generasi akan datang.

Menurutnya, dakwaan MCCBCHST bahawa pengajaran hadis itu bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah satu pandangan undang-undang yang silap dan tafsiran tersalah arah.

“Saya merujuk kepada perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut; Islam adalah agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette