Tertuduh (tengah) keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuantan sebaik sahaja didakwa dengan 98 pertuduhan.

KUANTAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengambil masa kira-kira 50 minit untuk membacakan 98 pertuduhan ke atas Ketua Polis Balai Cherating yang didakwa menerima suapan berjumlah RM31,400.

Tertuduh Anuar Yaakub, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan sibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.

Anggota polis berpangkat Sarjan Mejar itu didakwa menerima suapan bernilai RM100 sehingga RM2,000 sejak Januari 2021 hingga Oktober 2022 ketika masih berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat sarjan di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sehingga ditugaskan sebagai Ketua Balai Polis Cherating berpangkat Sarjan Mejar.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima wang yang dipindah melalui perbankan dalam talian ke akaun miliknya berjumlah antara RM100 hingga RM2,000 dari beberapa individu di lima lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

Bagi kesemua pertuduhan itu Anwar didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili oleh peguambela Mohd Baharuddin Ahmad Kasim memohon pengurangan wang jaminan tersebut atas beberapa faktor termasuk sudah berkhidmat selama 37 tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, tertuduh menjadi penanggung keluarga yang mempunyai tiga orang anak dan isterinya, seorang suri rumah serta menjaga kedua orang tuanya masing-masing berusia 73 dan 76 tahun.

Mahkamah kemudian memutuskan untuk jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bercagar beserta tiga syarat tambahan termasuk tidak mengacau ganggu saksi atau ejen bagi melancarkan perjalanan kes.

Tertuduh diwajibkan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Pahang pada setiap bulan tanpa gagal sehingga bicara kes selesai.

Pegawai polis itu juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 25 September ini untukĀ  sebutan semula kes dan tarikh serahan dokumen. – MalaysiaGazette