Oleh: Dr. Hafidz Hakimi Haron
WALAUPUN pilihan raya negeri baru-baru ini hanyalah melibatkan enam buah negeri, namun kehangatannya dapat dirasai di seluruh negara. Lebih merisaukan, pergeseran politik di antara komponen yang bertanding bukanlah hanya terhad kepada soal politik, malah turut melibatkan perselisihan polisi yang membabitkan kerajaan negeri dan persekutuan yang ditadbir oleh parti-parti politik yang tidak memiliki haluan politik yang sama. Isu-isu polisi, pembangunan, dan juga tatakelola kerapkali dibangkitkan disepanjang kempen pilihan raya, di mana ianya serba sedikit mengganggu gugat semangat federalisme yang telah dipupuk sejak daripada negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Asas perkongsian kuasa melalui kaedah Persekutuan ataupun disebut sebagai federalisme, haruslah dilindungi daripada ianya terus diganggu gugat dan menimbulkan perpecahan yang lebih rumit berkaitan dengan sinergi kuasa diantara pusat dan negeri.
Mengamati konsep dan sejarah federalisme
Federalisme ataupun persekutuan, secara istilahnya bermaksud sebuah konsep politik di mana sekumpulan atau sebilangan negeri yang memiliki separa kebebasan berpentadbiran disatukan di dalam satu persekutuan oleh satu pemerintahan berpusat melalui sebuah perjanjian. Dalam erti kata lain, ia membentuk dua jenis entiti didalam pentadbiran sesebuah negara, iaitu di peingkat negeri, dan juga diperingkat persekutuan. Persefahaman ini kemudiannya diperkukuhkan dan diperundangkan oleh Perlembagaan di peringkat persekutuan sesebuah negara tersebut, dan dalam pada masa yang sama ianya bersifat lengkap-melengkapi terhadap Perlembagaan di peringkat negeri yang sedia ada. Oleh yang demikian, konsep federalisme adalah satu konsep yang menyokong
kepada perkongsian kedaulatan, dimana kerajaan negeri turut menikmati separa kedaulatan dan bukanlah menyerahkan seluruh kedaulatannya kepada kerajaan pusat yang telah dibentuk.
Konsep federalisme bukanlah sesuatu yang asing malah ianya adalah konsep pentadbiran kerajaan moden yang digunapakai oleh banyak negara-negara demokrasi yang lain seperti Kanada, Amerika Syarikat, dan juga Australia. Secara amnya, konsep pentadbiran ini dipilih oleh negara-negara yang mempunyai aspirasi untuk menyokong kearah pembentukan satu persekutuan yang jitu, yang dalam pada masa yang sama turut memberikan ruang terhadap kebebasan autonomi wilayah-wilayahnya di bawah satu naungan sistem politik. Dalam konteks Malaysia, penulis berpendapat bahawa sistem federalisme pada asasnya dipilih diatas semangat untuk mengekalkan kedaulatan dan kuasa Sultan di sembilan negeri-negeri Melayu. Oleh itu, kerangka federalisme adalah satu wadah pentadbiran yang bertentangan secara terus dengan sistem yang cuba diperkenalkan oleh British melalui rancangan Malayan Union yang memperjuangkan dasar negara kesatuan, di mana sesebuah negara ditadbir oleh pemerintah pusat yang berperanan sebagai kuasa tunggal, dan kerajaan negeri hanyalah melaksanakan bahagian pentadbiran yang telah ditugaskan oleh kerajaan pusat.
Federalisme dan Perlembagaan Persekutuan
Di Malaysia, konsep dan amalan federalisme adalah dilindungi dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebagai sebuah negara demokratik yang menjunjung tinggi keperluan pengasingan kuasa, konsep ini turut diterjemahkan melalui amalan federalisme yang termaktub didalam Perlembagaan. Ini dapat dilihat dimana amalan federalisme didalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menolak konsep pemusatan kuasa kepada sesuatu badan ataupun individu di dalam negara. Sebaliknya, kuasa di antara pemerintah di peringkat pusat dan negeri dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu kuasa menggubal undang-undang, kuasa pentadbiran, dan juga kuasa untuk mengurus sumber kewangan.
Punca kepada pembahagian kuasa penggubalan undang-undang jelas dinyatakan melalui Perkara 74, Perkara 77 dan juga Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, kuasa menggubal undang-undang tersebut dibahagikan kepada dua badan, iaitu Parlimen di peringkat persekutuan, dan Dewan Undangan Negeri di peringkat Negeri. Kuasa penggubalan ini dibahagikan pula berdasarkan perkara-perkara yang terbahagi kepada empat kategori, pertamanya, senarai undang-undang yang boleh digubal oleh Parlimen. Hal ini termasukla hal ehwal luar negeri, perkara yang berkaitan keselamatan dan pertahanan, undang-undang sivil dan jenayah selain daripada hal berkaitan mahkamah syariah, pertubuhan, koperasi dan lain-lain. Manakala, senarai kedua pula
memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk menggubal beberapa perkara termasuklah isu berkaitan undang-undang syariah, perkara berkaitan tanah, pertanian, hutan, kerajaan tempatan, jentera kerajaan negeri, pengurusan sumber air, dan lain-lain.
Dalam pada itu, Jadual kesembilan, Perlembagaan Persekutuan turut menggariskan perkara-perkara yang boleh digubal secara bersama di mana kedua dua badan perundangan mempunyai kuasa keatasnya. Hal ini termasuklah mengenai
kebajikan masyarakat, biasiswa, kesihatan awam, dan sebagainya. Selain itu, Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan turut menggariskan bahawa kuasa menggubal akan diberikan kepada Dewan Undangan Negeri sekiranya perkara-perkara tersebut tidak disebut dibawah mana mana senarai dibawah Jadual Kesembilan.
Bagi kuasa eksekutif dan pentadbiran, secara amnya pembahagian bidang kuasanya adalah seperti mana yang digariskan bagi pembahagian kuasa perundangan sebagaimana yang disebutkan di bawah Perkara 80(1) Perlembagaan Persekutuan. Namun, Perlembagaan Persekutuan turut memberikan sedikit kelonggaran mengenai aspek pentadbiran dimana Perkara 80(5) Perlembagaan Persekutuan memberikan sedikit ruang fleksibiliti kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk melaksanakan sesuatu fungsi bagi pihak yang satu lagi. Di samping itu, Perlembagaan Persekutuan turut memberikan ruang kepada kerajaan Persekutuan untuk memberikan nasihat ataupun bantuan teknikal kepada kerajaan negeri sekiranya diperlukan.
Perlembagaan Persekutuan wadah perpaduan nasional
Seperti yang dinyatakan sebelumnya, Perlembagaan Persekutuan secara jelas telah membahagikan bidangkuasa kepada persekutuan dan negeri secara adil dan saksama mengikut kepada persetujuan asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Pergeseran pandangan politik yang berlaku pada hari ini sedikit sebanyak telah memberikan kesan negatif kepada hubungan baik yang terjalin diantara kerajaan Persekutuan dan kerajaan beberapa negeri selama ini.
Penulis mengakui bahawa perbezaan pendapat adalah rencam didalam negara yang mengamalkan demokrasi, namun, perselisihan tersebut haruslah diselesaikan melalui perbincangan berdasarkan lunas-lunas undang-undang sedia ada yang telahpun digariskan secara jelas didalam Perlembagaan Persekutuan. Ini bertepatan dengan semangat yang disebutkan melalui Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung keunggulan Perlembagaan dimana semua pihak haruslah berfungsi dan mematuhi perkara-perkara yang telahpun dinyatakan didalam Perlembagaan tersebut. Dalam pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga turut menggariskan beberapa solusi sekiranya timbul konflik di antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Misalnya, Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan dengan terang menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau memutuskan suatu keputusan, sekiranya terdapat apa-apa pertindihan kuasa diantara negeri dan persekutuan, ataupun sekiranya ada apa apa pertikaian yang lain diantara negeri dengan satu negeri yang lain, dan diantara persekutuan dengan negeri. Pendek kata, permasalahan dan pergeseran yang timbul di antara Persekutuan dan negeri boleh diselesaikan secara matang, dan berhemah tanpa perlu dipolitikkan secara berlebih-lebihan sehingga hak rakyat untuk menikmati perkhidmatan yang terbaik oleh mana-mana kerajaan diterkesampingkan.
Sempena meraikan Hari Kemerdekaan ke-66 yang bakal disambut pada 31 Ogos ini, penulis menyeru kepada semua pihak yang berkaitan agar menghayati semangat federalisme yang telah dipupuk dengan penuh susah payah oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Seharusnya, fokus utama bagi pihak-pihak yang telah diberi mandat untuk menjadi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri hari ini adalah untuk mentadbir dan memacu negara secara keseluruhannya ke peringkat yang lebih tinggi. Ringkasnya, berpada-padalah dalam berpolitik, buanglah yang keruh, ambillah yang jernih.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS),
Universiti Utara Malaysia