Simptom cacar monyet. Foto thewatchdog.news

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti dua kes positif cacar monyet (mpox) di negara ini, masing-masing membabitkan seorang warga asing dan tempatan.

Kes pertama disahkan pada 26 Julai 2023, melibatkan seorang lelaki warga asing yang telah tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022.

Katanya, pesakit mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai 2023 dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai 2023 dan mula menunjukkan gejala pada 19 Julai 2023 dan lepuh mula muncul pada 23 Julai
2023.

Pesakit ini telah menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos 2023 setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi.

Dia disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox, kata Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Kes kedua pula adalah kontak kepada kes mpox pertama, seorang lelaki warga tempatan yang mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak kepada kes positif mpox.

Dia telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai 2023 dan disahkan positif mpox pada 29 Julai 2023.

Pesakit ini masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat.

Dr Muhammad Radzi Abu Hassan

Dr Muhammad Radzi berkata, semua kontak bagi kes pertama telah dikenalpasti dan status kesihatan mereka dipantau.

“Setakat ini mereka tidak mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua. Manakala kes kedua pula tidak mempunyai sebarang kontak rapat,” ujarnya.

Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox dan jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

Menurutnya, individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.

Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

Semua pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan mpox dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Gejala-gejala mpox adalah seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.

Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

Dalam pada itu, semua pengamal perubatan diminta untuk peka terhadap individu dengan gejala lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.

Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah/serum boleh dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

Pada masa ini, terdapat 10 buah makmal menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan mpox; iaitu lapan makmal kerajaan dan dua makmal swasta.

Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, tambahnya. – MalaysiaGazette