UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa tidak dapat mererima kenyataan usaha yang beliau buat semasa menjadi  Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan dengan Pas dan Bersatu tidak kesampaian.

Justeru Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, bekas Naib Presiden UMNO itu masih dibuai dengan naratif klasik punca kemerosotan UMNO.

“Pak Mail masih teramat sayangkan (Tan Sri) Muhyiddin dan (Tan Sri Abdul) Hadi biar pun dia sendiri adalah mangsa kepada permainan politik dua pemimpin parti dalam PN itu.

“Sudahlah sepanjang jadi Perdana Menteri dia asyik kena ugut dengan Muhyiddin dan terpaksa buat perjanjian politik sulit dengan Bersatu semata-mata dia selamat di kerusi PM itu,” dakwa Nur Jazlan.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu membayangkan selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri akan menggunakan waktu yang terluang untuk membantu parti.

Ismail Sabri juga diharapkan dapat memberikan idea bernas kepada parti seperti mana UMNO banyak membantu beliau sehingga berada di puncak kuasa.

Sementara itu, Nur Jazlan turut mendakwa Ismail Sabri sebagai punca kemerosotan sokongan terhadap UMNO.

Beliau yang ketika itu adalah Perdana Menteri tidak menghiraukan kehendak dan pandangan pucuk pimpinan parti supaya membubarkan Parlimen selepas kemenangan besar UMNO pada PRN Johor.

“Masa itu pimpinan dan ahli akar umbi yakin sokongan terhadap UMNO tengah meningkat dan masa itu adalah yang terbaik untul PRU15.

“Tapi Pak Mail ketepikan pandangan orang parti sendiri dan pilih untuk tangguhkan bubar Parlimen serta beri ruang masa kepada Bersatu dan Pas untuk bersiap sedia dulu.

“Natijahnya, UMNO kalah teruk pada PRU15 dan sokongan orang Melayu semakin merudum sehingga kepada PRN baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan mengetepikan tuduhan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi punca kekalahan teruk UMNO pada PRU15 dan PRN di enam negeri.

Katanya, UMNO masih menang dengan cemerlang pada PRU Melaka dan Johor semasa Ahmad Zahid sedang berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah.

“Jawapannya bila Pak Mail beri ruang masa kepada pembangkang untuk reka pelbagai naratif dan persepsi negatif terhadap Presiden dan UMNO sendiri, itulah yang buatkan rakyat terpengaruh dan buat U-Turn kepada PN,” kata Nur Jazlan.

Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan berkata, antara punca penolakan pengundi Melayu apabila mereka mentafsirkan UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, salah satu buktinya apabila kepimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast