Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukan kira-kira RM6 juta untuk melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang disediakan secara percuma kepada anak negeri itu.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari dengan penglibatan kira-kira 6,500 orang tahun ini, menjadikan semuanya berjumlah 65,000 sejak program itu diperkenalkan sejak 13 tahun lalu.

Kata beliau, tahun lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM7 juta untuk PTRS.

“Kali ini, menerusi PTRS ini, kita turut menyediakan makan tengah hari percuma agar kebajikan pelajar lebih terjaga,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

PTRS merupakan program tuisyen percuma yang ditawarkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri itu.

Mereka yang terlibat ialah dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai tahap pencapaian akademik yang sederhana.

Kata Amirudin, sebelum ini kira-kira 200,000 pelajar dari keluarga B40 disasar menerima manfaat program itu dalam tempoh lima tahun.

Sasaran itu antara lain, tawaran Kerajaan Perpaduan Selangor menerusi manifesto Tawaran Kita Selangor: 5 Tekad untuk 5 Tahun.

“Program ini turut diperluaskan kepada sekolah rendah dan menengah rendah,” katanya. – MalaysiaGazette