Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melabelkan parti Amanah sebagai ‘gurkha’ kepada DAP tidak memberi sebarang faedah.

Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana tuduhan yang dilemparkan itu penuh dengan kepalsuan.

“Artikel bertajuk “PAN dan UMNO Menjadi Ghurka DAP” sudah cukup melambangkan tabiat minda Presiden Pas yang suka melabel, menghukum sesuka hati.

“Penulisan dilatari dengan perenggan yang menjelaskan makna Ghurka yang dakwanya setia dan sedia berkhidmat untuk tuannya selagi disuap dan diberi duit ringgit. Dia memulakan sesuatu yang palsu dengan mengharapkan rumusannya satu kebenaran.

“Walhal Allah telah menyatakan dalam sebahagian Al Ra’d: 17, bahawa perkara batil dan palsu umpama buih yang hilang tidak ada faedah apa-apa manakala yang benar kekal (berfaedah),” kata Mujahid.

Pengerusi Nadwah Ulama itu berkata, penulisan Abdul Hadi telah memperlihatkan hakikat adab seorang presiden sebuah parti Islam dan karakter berfikirnya.

Jelas beliau, beradab menuntut seseorang berakhlak dalam semua bidang termasuk ketika menulis.

Pilihan perkataan dan gaya menyampaikan sesuatu idea merupakan lambang adab dan karakter pemikiran seseorang.

“Tulisan Minda Presiden Pas kali ini menampakkan adab sebenar di sebalik jubah dan serban. Adab menulis khususnya menuduh orang lain biarlah berbukti, jika tidak maka penulisan ini boleh difahami sebagai tuduhan fitnah yang jahat (fahishah).

“Ambillah peringatan Allah dalam An Nur ayat 19 (bermaksud): Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian),” kata Mujahid.

Sementara itu, Mujahid mahu umat Islam dan Melayu bangkit dari monopoli politik Islam Pas yang memenjarakan sebahagian umat Islam di Malaysia dari melihat luasnya perjuangan Islam.

Semalam Abdul Hadi mendakwa DAP meniru cara Inggeris mempergunakan bangsa yang dijajah Gurkha sebagai tentera barisan hadapan bagi menentang musuh.

Beliau mendakwa, DAP telah menjadikan UMNO dan Amanah sebagai askar ‘Gurkha’ untuk melawan Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.