KUALA LUMPUR – Laman sesawang Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang ditutup sejurus selepas kontroversi mengenainya sejak dua hari lalu kini boleh diekses semula.
Bagaimanapun pengguna tidak lagi boleh memeriksa menggunakan nombor kad pengenalan sama ada mereka telah didaftarkan atau tidak seperti sebelum ini.
Sebaliknya mereka yang layak perlu membuat pendaftaran di aplikasi Wavpay E-Wallet yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.
Hanya mereka yang mempunyai kad pengenalan didaftarkan di Selangor atau alamat terkini di daftarkan di negeri itu dan pengundi sah sahaja layak mendapat manfaat insuran berkenaan.
Menurut laman sesawang berkenaan, insuran tersebut kini berlandaskan syariat melalui pengenalan Insan Takaful yang disediakan kepada 3 juta rakyat Selangor beragama Islam.
Ia adalah adalah penambahbaikan kepada skim perlindungan konvensional sedia ada dan berteraskan patuh syariah iaitu wang pampasan dari RM10,000 sehingga RM20,000 termasuk kemalangan yang berlaku di luar negara.
Nilai tambah perlindungan takaful ini juga memberikan kelebihan kepada pemegang sijil untuk membuat tuntutan wang pampasan sebanyak RM50 sehari bagi kemasukan wad.
Katanya, pemegang sijil INSAN sedia ada akan ditukarkan ke perlindungan takaful secara automatik setelah tamat tempoh perlindungan dibawah pelan konvensional.
Skim insuran itu menimbulkan kontroversi selepas banyak pihak mendakwa nama mereka didaftarkan tanpa pengetahuan hingga menimbulkan kebimbangan mengenai kebocoran data peribadi.
Ini berlaku selepas mereka membuat pemeriksaan dengan memasukkan nombor kad pengenalan dalam laman sesawang Insan sebelum ini.
Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dakwaan berlaku kebocoran dan salah guna data rakyat negeri disifatkan tuduhan berniat jahat.
Sambil menafikan berlaku kebocoran data, Amirudin berkata, ia adalah data awam yang dibeli dan didaftarkan sebagai pra pendaftaran
Malah, beliau turut menafikan keuntungan daripada pelaksanaan polisi berkenaan digunakan untuk membiayai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN). – MalaysiaGazette