MUZZAFFARNAGAR, India- Seorang guru yang didakwa mengarahkan pelajarnya menampar seorang pelajar Muslim di sebuah sekolah di Uttar Pradesh, India telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman video yang tular memaparkan guru di sebuah sekolah di Muzzaffarnagar mengeluarkan kenyataan berkaitan Islamophobia dan menggalakkan pelajar lain menampar seorang pelajar lebih kuat kerana agama yang dianutinya.
Latar belakang suara seorang lelaki yang kedengaran turut bersetuju dengan tindakan guru tersebut.
“Saya mengisytiharkan semua kanak-kanak Islam perlu pergi,” kata guru tersebut ketika pelajar itu berdiri di hadapan kelas dengan linangan air mata dan dalam keadaan ketakutan, lapor mmnews.
Bapa kepada pelajar tersebut, Mohammad Irshad memberitahu para wartawan bahawa guru tersebut telah mengarahkan rakan-rakan sekelas seorang-demi seorang untuk menampar anak lelakinya.
“Guru tersebut membenarkan tindakannya dengan menyatakan anak saya tidak ingat pelajarannya. Prestasi pelajaran anak saya baik. Dia ikuiti kelas tuisyen. Kami gagal memahami mengapa guru tersebut melayan dia sebegini. Ia kelihatan seperti guru tersebut penuh dengan perasaan benci,” tambah beliau.
Irshad berkata, layanan guru tersebut terhadap anaknya adalah kerana ‘kebencian yang disebarkan terhadap Islam di negara ini’, dengan kenyataan guru itu dalam video tersebut sebagai bukti.
Sementara itu, ibu pelajar lelaki tersebut, Rubina menambah, guru tersebut dilaporkan mempunyai tabiat menyuruh pelajar menampar pelajar sekelas lain.
“Anak lelaki saya menangis ketika pulang ke rumah. Dia trauma. Ini bukan cara melayan kanak-kanak,” kata Rubina.
Beliau berkata, beberapa hari lalu, pelajar lain turut mendapat layanan yang sama selepas dia gagal mengingat pelajarannya.
Bapa kanak kanak tersebut berkata, beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sekolah tersebut memandangkan mereka bertolak ansur dalam perkara itu.
Bagaimanapun, tambahnya, beliau tidak akan menghantar anaknya ke sekolah itu.
Sementara itu, pemimpin kongres, Rahul Ghandi yang mengulas mengenai insiden tersebut berkata: “Menyemai racun diskriminasi dalam minda kanak-kanak yang tidak berdosa, mengubah tempat suci seperti sekolah kepada tempat pasaran yang dibenci – tiada yang lebih teruk seorang guru boleh lakukannya untuk negara,”.
“Ini adalah minyak tanah yang sama yang disemarakkan oleh BJP dengan api telah merebak ke setiap penjuru India.
“Kanak-kanak adalah masa depan India, jangan benci mereka, kita semua perlu mengajar kasih sayang bersama-sama,” katanya. – Agensi