KUALA LUMPUR – Genap umur 74 tahun Pergerakan Pemuda UMNO perlu ‘asah, asapkan api kepahlawanan keris’ teruskan berjuang.
Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pergerakan itu perlu terus mendekati dan memahami sekali gus menambat hati anak muda untuk menyokong parti.
Beliau menegaskan, tanggungjawab tersebut adalah amanah terbesar yang harus dipikul sepenuh hati oleh Pemuda UMNO ketika ini.
Katanya, sebagai ahli parti apa juga tindakan yang hendak dilakukan perlu meletakkan misi, visi dan kepentingan parti di hadapan.
“Berjuanglah. Kita tidak rela keris panjang warisan ini tersisip di dinding, tajam, tapi lena di dalam sarungnya.
“Maka, pamerkan keberanian dan kepintaran yang diwarisi Pemuda untuk terus mencorak parti.
“Jika ada yang salah, bantulah betulkan. Jika ada yang rosak, bantulah baiki. Jika ada yang khilaf, teruskan menegur. Jika menurut biarlah berakal, jika mengikut biarlah pintar,” katanya.
Menurut Wan Rosdy, dalam tempoh 74 tahun sejak penubuhannya pelbagai peristiwa besar dan bersejarah telah dilalui oleh Pergerakan Pemuda UMNO.
Ini termasuk bersama-sama berjuang hingga berjaya memerdekakan tanah air yang tercinta daripada belenggu penjajahan.
Bagaimanapun hari ini situasi cukup berbeza selepas UMNO yang dahulunya cukup berjasa besar memerdekakan dan memajukan negara semakin dilupai dan menghadapi krisis keyakinan rakyat.
Situasi tersebut menuntut kesedaran dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada Pemuda UMNO selaku tiang seri dan tonggak utama parti laksana ‘keris panjang berkeluk’ yang digeruni lawan.
Pemuda UMNO harus terus berperanan dalam memastikan parti kekal relevan, kembali diterima rakyat, dan memacu kebangkitan yang diharapkan.
“Sejak sekian lama, keberanian, kecekalan dan semangat juang kepahlawanan Melayu yang ditonjolkan oleh tokoh-tokoh Pemuda UMNOlah menjadi asbab utama dalam memastikan UMNO terus dihormati, diyakini dan disanjungi rakyat.
“Kini sudah tiba masanya untuk Pemuda UMNO bangkit dengan semangat juang paling jitu dalam mengembalikan maruah dan kegemilangan parti,” katanya.
Wan Rosdy berkata, selaku Naib Presiden UMNO beliau akan sentiasa mendukung dan menyokong apa jua agenda yang hendak dibawa oleh Pemuda UMNO selagi ia selaras dengan matlamat parti yang disayangi. – MalaysiaGazette