Manchester United

LONDON – Manchester United bangkit daripada dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pertama sebelum menewaskan Nottingham Forest 3-2 lewat malam tadi.

Manakala, Arsenal pula keciciran mata buat kali pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila seri 2-2 dengan Fulham yang beraksi dengan 10 pemain.

West Ham menamatkan permulaan sempurna Brighton dengan kemenangan 3-1 sekali gus meletakkan anak buah David Moyes di puncak liga.

Tottenham Hotspur yang beraksi awal malam tadi, turut mengumpul tujuh mata selepas menang 2-0 di Bournemouth.

United bergelut untuk memulakan semula musim mereka selepas tumpas 2-0 kepada Tottenham hujung minggu lalu.

Taiwo Awoniyi meluru pantas susulan sepakan sudut United untuk menjaringkan gol EPL bagi perlawanan ketujuh berturut-turut selepas hanya 90 saat.

Tiga minit dan 42 saat kemudian menyaksikan Willy Boly menyumbang gol berpunca sepakan percuma Morgan Gibbs-White.

Christian Eriksen memulakan kebangkitan United itu apabila dia menyempurnakan hantaran lintang Marcus Rashford.

Casemiro terlepas peluang keemasan menyamakan kedudukan sebelum rehat tetapi dia menebus kegagalan itu apabila merembat masuk umpanan Bruno Fernandes.

Kapten Forest, Joe Worrall kemudian dibuang padang 23 minit sebelum tamat kerana menjatuhkan Fernandes.

Fernandes memenangi perlawanan itu menerusi sepakan penalti selepas Rashford dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Arsenal turut bermula buruk apabila Andreas Pereira menghukum kesilapan hantaran lemah Bukayo Saka sebelum mengatasi Aaron Ramsdale pada minit pertama di Emirates.

Dalam pada itu, permulaan cemerlang Brighton pada dua perlawanan sebelum ini berakhir selepas tewas di tangan West Ham.

The Hammers yang 22 peratus menguasai perlawanan itu, mengecewakan tuan rumah menerusi gol James Ward-Prowse, Jarrod Bowen dan Michail Antonio. – Agensi