Gambar hiasan

TAIPING – Seorang pesara kerajaan terpaksa berputih mata apabila wang simpanannya RM186,450 lesap diperdaya sindiket penghantaran barang yang menyamar sebagai pegawai polis bergelar Datuk pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, mangsa berumur 42 menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku pegawai di Pejabat Pos Kuala Lumpur.

Jelas beliau, menerusi panggilan itu suspek mendakwa terdapat satu bungkusan yang mengandungi kad pengenalan milik mangsa serta beberapa kredit kad yang dihantar ke Sarawak.

“Bagi menyakinkan mangsa, suspek konon menyambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka. Mangsa menafikan mempunyai kaitan dengan bungkusan tersebut sebelum dia diminta membuat aduan dalam talian.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada suspek kedua iaitu seorang pegawai polis yang mendakwa bergelar Datuk sebelum dia diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun yang diberikan kononnya bagi tujuan siasatan pegawai AMLA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Razlam, panik dan takut menyebabkan mangsa membuat transaksi deposit tunai dan pindahan wang keseluruhan berjumlah RM186,350.

Jelasnya, kesemua wang itu dipindahkan ke enam akaun membabitkan 38 transaksi bermula 24 hingga semalam.

“Mangsa turut dimaklumkan proses siasatan itu mengambil masa setengah jam dan akan menghubunginya semula selepas mendapat hasil siasatan.

“Bagaimanapun, selepas 30 minit mangsa menghubungi nombor talian itu semula namun tidak mendapat sebarang maklum balas malah nombor taliannya turut disekat.

“Mangsa hanya sedar dirinya ditipu selepas itu tampil membuat laporan polis,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette