Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi tempoh 2022 hingga 2025 meletakkan jawatan secara sukarela berkuatkuasa 31 Ogos ini.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau yang dilantik pada 1 Julai tahun lalu telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam gerak kerja Suhakam.

Ini termasuk kejayaan sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam bagi tahun 2020 di Dewan Rakyat pada 12 hingga 14 Jun 2023.

Dr. Rahmat kini merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia bagi sesi 2023-2025.

Pelantikan jawatan tersebut telah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalinan Othman Said pada 23 Ogos lalu.

“Pelantikan adalah bertepatan dengan latar belakang beliau dalam bidang Perundangan Antarabangsa serta pengalaman beliau sebagai Setiausaha Agung yang kelima bagi Asian African Legal Consultative Organization,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Kerajaan akan melantik pengerusi sementara dalam masa yang terdekat untuk menjalankan tugas sebagai Pengerusi Suhakam sehingga pengerusi baharu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia bagi memastikan tatakelola Suhakam berjalan dengan lancar semasa sesi peralihan berlangsung.

Sebelum ini beberapa media melaporkan beberapa pihak mempertikaikan pelantikan Dr. Rahmat Pengerusi Suhakam.

Ini kerana Dr. Rahmat dilaporkan menentang tindakan Malaysia untuk meratifikasi Statut Rom di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Rahmat adalah salah seorang daripada empat ahli akademik yang menulis kertas kerja untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja untuk menolak Statut Rom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast