Rafizi Ramli.-Foto AFFAN FAUZI, 23 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUYR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diminta membuat laporan polis terhadap satu hantaran yang dibuat oleh media sosial milik Pas Pusat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa, hantaran yang dibuat oleh media sosial tersebut berkaitan lebih 50,000 rakyat China memohon kewarganegaraan Malaysia disifatkan sebagai jenayah fitnah.

“Saya akan bercakap dengan Menteri KDN sendiri @saifnasution (Saifuddin) supaya satu laporan polis dibuat mengenai posting ini yang jelas satu criminal defamation ‘dalam proses diberi kerakyatan’ adalah penipuan.

“Pas perlu bertanggungjawab bila berterusan berbohong begini,” kata Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR.

Dalam satu hantaran Pas Pusat berkongsi kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris.

Beliau mendakwa, isu 54,000 warga China dalam proses diberikan kewarganegaraan Malaysia adalah sangat serius.

Justeru beliau meminta supaya Suruhanjaya Pengecahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat segera dakwaan tersebut walaupun ia telah dinafikan oleh Saifuddin Nasution sebelum ini.

“Kita tidak mahu kedaulatan negara kita dicerobohi sewenang-wenangnya apatah lagi daripada pihak dalaman. Menteri KDN harus bertanggungjawab.

Mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin yang bertiup!

“Angka 54,000 ini terlalu besar. Rakyat mahu isu ini ditangani secara bijak dan tuntas,” katanya.

Beliau berkata, kedaulatan negara perlu dipertahankan dan keistimewaan rakyat Malaysia perlu dilindungi.

Dua hari lalu, Saifuddin Nasution menepis dakwaan bahawa kementeriannya sedang dalam proses memberikan kerakyatan secara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.

Tanpa memperincikan dakwaan itu, Saifuddin Nasution menyifatkan perkara itu satu tohmahan dahsyat yang dilontar tanpa rasa tanggungjawab yang memberi kesan terhadap usaha kementerian menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan ketika ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, terdapat lebih 140,000 permohonan kewarganegaraan yang diterima pihaknya dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,000 telah diproses termasuk permohonan yang diluluskan.

Menurut beliau, sekiranya data berkaitan pemberian kewarganegaraan itu diputarbelitkan dan disebarkan, ia boleh memberi persepsi negatif terhadap usaha kementeriannya menyelesaikan isu kewarganegaraan termasuk yang banyak disebabkan oleh kelewatan pendaftaran perkahwinan.

Sebelum ini, Jabatan Pendaftaran Negara dilapor menafikan dakwaan kira-kira 54,000 warga China sedang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia untuk menjadi pengundi DAP. – MalayisaGazette