KUANTAN – Pihak berkuasa digesa menyiasat ‘memo dalaman’ Jabatan Peguam Negara berkaitan enam pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, siasatan itu penting kerana dikatakan antara intipati utama memo yang sebulat suara berpendirian bahawa enam pertuduhan tidak memenuhi kehendak minimum untuk sesuatu pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.
”Saya menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan wujudnya Memo Dalaman Jabatan Peguam Negara bertarikh 10 September 2019, yang menyentuh 6 pertuduhan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah,” kata Menteri Besar pahang itu menerusi kenyataan, semalam.
ARTIKEL BERKAITAN:
UMNO Pekan desak Peguam Negara siasat kesahihan memo pendakwaan kes Najib
Pada 23 Ogos lalu, UMNO Pekan mendesak supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat dan menjelaskan kepada umum tentang dokumen memo dalaman pasukan pendakwaan kes 1MDB-IPIC yang tular baru-baru ini.
Menurut Wan Rosdy, memo tersebut memberi kesan langsung kepada proses perbicaraan di mahkamah yang sedang dihadapi oleh Datuk Seri Mohd Najib ketika ini.
Tambah beliau, siasatan perlu dilakukan segera kerana isu memo itu boleh menggugat kredibiliti serta imej sistem perundangan dan kehakiman negara, sekali gus memberi kesan yang tidak baik terhadap keyakinan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. – MalaysiaGazette