Pusat bandar Kuala Lumpur dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang menjelang sambutan Hari Kebangsaan .

Oleh: Nurulisyazila Othaman

UJIAN dan cabaran datang silih berganti tidak dapat kita tepis. Apa yang perlu kita lakukan adalah menghadapinya dengan tenang dan matang. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, pelbagai ujian jerit perih yang nenek moyang kita lalui. Kejatuhan negara di tangan penjajah juga adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh setiap generasi lama yang melaluinya. Sebagai generasi baharu di zaman maju penuh pesat jangan kita lupakan pada cabaran yang dihadapi mereka di zaman lalu. Jiwa kemerdekaan perlu terus subur mekar dalam setiap diri kita anak bangsa masa kini.

Pada tahun 2023, tema kemerdekaan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan telah diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada 27 Mei 2023. Lantaran itu, antara perkara utama yang perlu kita hayati daripada tema kemerdekaan tahun ini adalah perpaduan, yang menyatukan kita semua tidak kira dalam apa jua aspek. Bersatu teguh, bercerai maka ia akan roboh. Keteguhan ikatan perpaduan juga merupakan tonggak utama kemasyarakatan. Kita telah hidup dalam sesebuah negara dengan keunikan berbilang bangsa penuh keharmonian selepas kita mencapai kemerdekaan. Justeru, bersesuaian dengan tema kemerdekaan 2023 tersebut, perpaduan amat penting dalam mencapai kesepakatan demi kemakmuran kita rakyat berbilang bangsa. Salah satu harapan Malaysia Madani juga merupakan perpaduan untuk memastikan rakyat mencapai kemajuan berteraskan pencapaian yang baik melalui budaya bangsa, kesejahteraan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Kibaran Jalur Gemilang tatkala tibanya bulan kemerdekaan adalah sangat penting. Lihat sahaja negara-negara lain seperti Indonesia contohnya, bendera-bendera negara meriah menghiasi sepanjang jalan tidak kira sama ada di bandar atau di kampung ketika sambutan bulan kemerdekaan. Jalur Gemilang merupakan kemegahan kita yang patut dikibarkan dengan megah sambil menghayati maksud sebenar kemerdekaan. Usah hanya mengibarkannya dalam bentuk poster di alam maya. Marilah kita bersama mengibarkannya tanda kasih sayang dan penghormatan kita sebagai generasi moden masa kini terhadap pengorbanan generasi terdahulu demi mencapai sebuah kemerdekaan.

Bagi yang belum maklum tentang nama Jalur Gemilang, sumber daripada Jabatan Penerangan Malaysia menjelaskan Jalur Gemilang adalah nama rasmi yang diberikan kepada Bendera Malaysia. Pengisytiharan nama baharu Bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang telah diadakan pada 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara oleh Perdana Menteri Malaysia keempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Jelasnya lagi, Lambang jalur pada bendera menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama dianuti oleh rakyat negara ini.Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh itu, Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara. Warna merah pada jalur pula melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan dan kegigihan rakyat menghadapi segala cabaran.

Warna putih melambangkan keluhuran dan keikhlasan manakala biru pula melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai. Warna kuning pula melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara. Penghormatan yang tinggi harus diberikan kepada setiap Jalur Gemilang yang dikibarkan kerana ia adalah suatu simbolik yang amat kuat dan membawa maksud kemerdekaan buat sesebuah negara. Jangan dipandang setiap Jalur Gemilang itu seperti kain biasa yang dikibar sebagai hiasan. Integriti diri kepada setiap Jalur Gemilang harus ada supaya penghormatan terhadapnya terus terpelihara. Sebagai contoh yang mungkin kita tidak menyedarinya, jika anda melihat Jalur Gemilang yang dikibarkan mungkin terjatuh atau terputus tali pengikatnya, segeralah kita mengangkat dan meletakkan ia di tempat yang paling baik di kawasan tersebut, usah hanya melihat ia terhampar di lantai dan berlalu pergi tanpa ada langsung perasaan patriotik dalam diri kita.

Walaupun ia hanyalah perbuatan kecil yang mungkin pada masa tersebut tiada penghargaan diberikan kepada anda, anda patut berbangga kerana semangat patriotik yang kuat dan subur dalam diri. Kibaran bendera di bulan kemerdekaan sepatutnya perlu diteruskan amalannya dengan lebih giat lagi. Sekian lama, sejak kemerdekaan dicapai, kita memang sudah biasa menyambutnya dengan hiasan bendera-bendera yang sangat banyak dipasang terutamanya di kedai-kedai dan pusat-pusat bandar dan kampung-kampung sehingga kita tercari-cari pintu kedai dan bangunan tersebut. Perkara yang mungkin dianggap remeh hanya berkaitan kibaran bendera namun, sebenarnya membawa seribu makna dan semangat buat kita rakyat Malaysia. Ibu bapa dan para pendidik sepatutnya mengambil peluang ini dengan menerapkan pengetahuan dan
semangat kemerdekaan kepada anak-anak kecil daripada kempen-kempen kibaran Jalur Gemilang ini.

Selain itu juga, kibaran Jalur Gemilang ini juga sebenarnya perlu bermula dengan lebih awal lagi di bulan kemerdekaan iaitu sejak awal bulan Ogos supaya kita dapat memberi motivasi dan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam diri setiap rakyat Malaysia tanpa mengira golongan generasi usia. Jalur Gemilang juga merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia. Kempen kibaran Jalur Gemilang akan meningkatkan semangat rakyat untuk mengingati setiap perjuangan dan pengorbanan dalam mencapai kemerdekaan. Kibaran Jalur Gemilang turut membantu untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan nilai-nilai penghormatan terhadap negara yang kita cintai. Ia juga menandakan era kemerdekaan akan terus ke hadapan seiring dengan pemikiran kita sebagai rakyat yang moden dan matang. Rakyat tanpa mengira bangsa dan negara harus kekal teguh dan terus bergerak ke hadapan bagi mencapai inspirasi dan harapan yang gemilang. Segala persengketaan harus dielakkan agar rakyat dan negara terus maju setanding negara-negara maju di luar sana berserta kejayaan dan perpaduan yang teguh.

Ayuh rakyat Malaysia kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh semangat kemerdekaan. Selamat Hari Kemerdekaan Negaraku Malaysia yang ke-66.

 

Penulis adalah Guru Bahasa di Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast