PEKEMA menjalin kerjasama dengan kedua-dua institusi kewangan dan bukan kewangan dalam usaha untuk memaksimumkan ekosistem pembiayaan yang lebih meluas.

SEPANG – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bersama Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersepadu terbesar di Asia Tenggara, menjalin kerjasama bagi memberi akses mudah kepada pembiayaan melalui platform kewangan digital.

Perjanjian dimeterai melalui jalinan kerjasama itu memberi tumpuan kepada sokongan kewangan yang diperlukan oleh ahli PEKEMA yang terdiri daripada pengimport dan peniaga kenderaan dari seluruh pelosok Malaysia.

Sekali gus, menunjukkan semangat dan dedikasi PEKEMA untuk memperkasakan ahli-ahlinya serta mengangkat martabat industri automotif Malaysia.

Pemangku Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, bahawa kerjasama itu mempunyai potensi besar untuk memberikan impak positif kepada industri automotif negara.

“Satu daripada aspek utama perjanjian ini adalah memberikan sokongan kewangan yang lebih kukuh kepada ahli PEKEMA untuk memudahkan pembelian stok kenderaan bagi tujuan “floor stocking”.

“Langkah ini penting dalam memastikan kelancaran perniagaan mereka serta untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan efisien,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada tahun lalu, PEKEMA memainkan peranan penting dengan mengimport lebih daripada 46,000 kenderaan dan menjual kira-kira 37,000 unit daripadanya.

Menurut Mohamed Nazari, PEKEMA menjalin kerjasama dengan kedua-dua institusi kewangan dan bukan kewangan dalam usaha untuk memaksimumkan ekosistem pembiayaan yang lebih meluas.

“Pendekatan inovatif ini dijangka akan mendorong peningkatan jualan dalam industri automotif dan memberi ruang kepada ahli untuk meneroka model pembiayaan yang berbeza sejajar dengan trend dan keperluan pasaran semasa.

“Kerjasama dengan Funding Societies ini selaras dengan misi PEKEMA untuk memperkukuhkan kedudukan industri automotif Malaysia dalam menghadapi transformasi global dengan menggunakan teknologi dan kerjasama yang dinamik,” katanya.

Pada tahun lalu, PEKEMA memainkan peranan penting dengan mengimport lebih daripada 46,000 kenderaan dan menjual kira-kira 37,000 unit daripadanya, memberikan sumbangan sebanyak 5.2 peratus kepada jumlah penjualan industri kenderaan (Total Industry Volume, TIV).

Dalam suasana pertumbuhan ekonomi Malaysia yang stabil serta pelancaran model-model baharu, TIV bagi tahun ini dijangka akan mencapai 725,000 unit, mengikut unjuran pasaran.

Dengan lebih daripada 340 pengedar, 400 gudang berlesen dan bilik pameran di seluruh negara, PEKEMA berada dalam kedudukan kukuh untuk terus memainkan peranan utama dalam pasaran automotif.

Sementara itu, Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon pula berkata, perjanjian kerjasama ini melahirkan konsep pembiayaan stok kenderaan yang berevolusi oleh Funding Societies dan diintegrasikan ke dalam rangkaian luas PEKEMA.

“Sebanyak hampir 300 Pemegang Permit (AP) yang diluluskan. Mekanisme pembiayaan ini membolehkan pemegang AP untuk memperluaskan stok kenderaan mereka, meredakan tekanan aliran tunai, dan memudahkan pengembangan perniagaan.

“Dengan menggabungkan kepakaran Funding Societies dalam pinjaman digital untuk PKS dengan rangkaian luas PEKEMA, kami yakin dapat memberikan kesan positif kepada pengedar kenderaan yang ingin berkembang di seluruh Malaysia. Inisiatif ini sejajar dengan misi kami untuk mengurangkan jurang pembiayaan PKS dan memacu pertumbuhan ekonomi,” jelas Chai.

ahli PEKEMA yang terdiri daripada pengimport dan peniaga kenderaan dari seluruh pelosok Malaysia.

Pada tahun 2022, sektor automotif Malaysia menyumbang sebanyak RM64.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutamanya didorong oleh pemulihan permintaan pasca pandemik. Anggaran menunjukkan bahawa angka ini dijangka meningkat kepada RM104.2 bilion menjelang tahun 2030.

Walau bagaimanapun, segmen tertentu dalam industri ini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk akses terhadap pembiayaan. Dalam konteks ini, kerjasama antara PEKEMA dan Funding Societies bertujuan untuk menangani isu-isu ini dengan menawarkan penyelesaian pembiayaan khusus yang bersesuaian dengan keperluan pelbagai pengedar kenderaan yang sedang berkembang.

Tambah Chai, program pembiayaan disesuaikan dengan kerjasama dengan PEKEMA ini menawarkan pelbagai faedah kepada pemegang permit AP, termasuk kos pembiayaan yang lebih rendah, had pembiayaan yang lebih tinggi, tempoh kredit sehingga 120 hari, dan proses permohonan yang dipermudahkan.

“Pemegang permit yang menepati kriteria diperlukan – pemilik syarikat sendirian berhad dan syarikat awam berhad, sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan saham oleh rakyat Malaysia, sekurang-kurangnya satu tahun operasi perniagaan yang aktif dan tiada tindakan undang-undang atau litigasi yang belum selesai – boleh memohon pembiayaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast