KUALA LUMPUR – Penyair terkenal, Pyanhabib mendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah meletakkan namanya dalam senarai hitam dan tidak dibenarkan keluar negara.
Pyanhabib yang juga pelakon hanya menyedari namanya telah disenarihitamkan apabila Jabatan Imigresen menghalang beliau untuk memperbaharui pasport.
“Tiba-tiba saya dapati saya tidak dibenarkan memperbaharui paspot dan saya dihalang lintas sempadan negara selagi tidak menjelaskan baki cukai yang ‘terhutang’ dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri, yang sebenarnya bukan salah saya.
“Sudah berpuluh tahun saya tidak ‘makan gaji’ malah saya pun sudah selesaikan cukai yang setiap tahun tidak pernah saya gagal membayar,” katanya dalam perkongsian dalam media sosial.
Pemilik nama Mohd. Supyan Abdul Rahman itu berkata, beliau tidak sangka dengan usia yang dianggap sebagai warga emas masih berhutang dengan LHDN.
Bagaimanapun Pyanhabib menafikan telah melakukan sebarang kesalahan.
“Tiba-tiba saya yang warga emas, yang heritage, yang hari ini menjadi khazanah negara, yang sudah berpuluh tahun tidak bekerja makan gaji mendapati nama saya dalam senarai hitam imigresen selain tersenarai di bahagian siasatan jenayah, Bukit Aman, hanya kerana ada beberapa ratus ringgit dan sen yang terberhutang, yang sebenarnya bukan salah saya.
“Ingat, sebagai warganegara yang baik, saya kena bayar cukai sampai mampos hatta satu sen pun. Jika tidak, saya akan diperambat, juga sampai mampos!” katanya dengan nada kesal. – MalaysiaGazette