JPJ WPKL melaksanakan SJR Op Khas Motosikal di Bangsar bermula 9 malam hingga 1 pagi Sabtu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 78,152 notis membabitkan pelbagai kesalahan dalam tempoh 29 hari menerusi Op Khas Motosikal yang dijalankan di seluruh negara.

Sepanjang operasi yang bermula 1 November lalu, JPJ memeriksa sebanyak 304,552 buah motosikal.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,530 notis dikeluarkan terhadap pemandu atau penunggang warga asing (PeWA).

Sebanyak 2,125 motosikal ditunggang warga asing turut disita atas kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Sepanjang tempoh operasi ini juga, JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melakukan ujian saringan terhadap seramai 234 penunggang motosikal manakala seramai 34 daripadanya disahkan positif dadah,” katanya .

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selepas turun meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Khas Motosikal JPJ Kuala Lumpur di kawasan LRT Bangsar di sini bermula 9 malam hingga 1 pagi tadi.

Tambah beliau, JPJ komited dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin melalui penguatkuasaan yang lebih tegas dan tanpa kompromi.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu atau pembonceng motosikal yang gagal mematuhi peraturan jalan raya kerana matlamat kami untuk mengurangkan kadar kemalangan dan menyelamatkan nyawa di jalan raya,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, beliau turut mendedahkan, kesalahan tertinggi yang direkodkan JPJ sepanjang tempoh 29 hari operasi itu adalah kesalahan tidak memiliki lesen memandu melibatkan sebanyak 22,601 notis dikeluarkan.

“Seterusnya kesalahan tiada atau tamat Lesen Kenderaan Motor (16,789 notis) dan  insurans kenderaan (15,117 notis), nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi JPJ (4,699 notis), lesen memandu tamat tempoh (1,606 notis) dan memandu atau menunggang bawah umur (167 notis).

“JPJ menasihatkan orang ramai khususnya semua penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan orang lain,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here