Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Data kotak perakam suara kokpit (CVR) dalam nahas pesawat Elmina yang dihantar ke Florida, Amerika Syarikat berjaya diperoleh semula.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semua rakaman terutama 30 minit terakhir sebelum pesawat terhempas telah diekstrak dan laporan awal dijangka siap dua minggu lagi.

“Jadi rakaman kokpit itu sudah dihantar melalui e-mel kepada pasukan siasatan di Kuala Lumpur. Semua rakaman suara pada dua juruterbang itu sedang dianalisa bagi kenal pasti punca nahas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony memberitahu, beliau tidak akan memberitahu secara terperinci punca nahas itu walaupun sudah diberi maklumat awal mengenai isu berkenaan.

“Saya tidak mahu buat apa-apa rumusan walaupun Ketua BSKU ada beri sedikit maklumat awal kepada saya. Saya fikir saya tidak mahu beri spekulasi.

“Saya serahkan kepada pihar pihak pakar kita buat analisa dan maklumat itu akan dikongsikan dalam laporan awal nanti,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, semua pihak dinasihatkan tidak salah faham dengan proses siasatan berkenaan kerana ia bukan mencari salah mana-mana pihak sebaliknya ia tertumpu kepada mengenal pasti punca utama nahas terbabit.

Pada 17 Ogos lalu, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat terbabit terhempas di Elmina dalam kejadian jam 2.50 petang.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat manakala dua lagi ialah pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu. – MalaysiaGazette