Gelagat gelandangan di tengah ibu kota Kuala Lumpur.FOTO MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

TEMA setiap tahun mungkin berubah tetapi penghayatan erti istilah ‘merdeka’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘maharddhika’ merujuk kepada erti kaya, makmur dan berkuasa, masih belum dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia.

Sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan Persekutuan sentiasa giat berusaha merapatkan jurang sosioekonomi dalam masyarakat. Pelbagai cabaran dilalui bersama mengajar kita semua bagaimana untuk hidup bersama dalam sebuah masyrakat yang majmuk.

Namun keadaan hari ini memperlihatkan bagaimana ketaksuban fahaman politik seseorang itu lebih dominan daripada mengutamakan jati diri kebangsaan. Penindasan yang lebih zalim daripada dijajah adalah kekufuran manusia itu sendiri dengan ketaksuban yang amat kepada pemimpin sehingga melahirkan sifat assabiyah.

Pemimpin-pemimpin politik seharusnya memberi fokus untuk membahaskan usaha bagi menetapkan taraf asas kehidupan supaya tiada sesiapa yang ketinggalan dalam arus pembangunan. Kematangan setiap pemimpin mahupun penyokong ideologi politik dalam mengutarakan idea-idea bernas, akan lebih memartabatkan masyarakat yang masih ramai kehidupannya belum benar-benar ‘merdeka’.

Walaupun pelbagai usaha kerajaan sejak negara kita merdeka bagi merapatkan jurang kemiskinan, saya tertarik dengan kajian teoretikal oleh Norzita Jamil dan Siti Hadijah Che Mat dari pusat pengajian ekonomi dan kewangan Universiti Utara Malaysia.

“Berdasarkan teori kemiskinan yang kerap dirujuk di Malaysia ialah kemiskinan mutlak kerana pendapatan isi rumah dibandingkan dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Jika pendapatan bulanan sesebuah isi rumah adalah kurang daripada PGK maka isi rumah ini dianggap miskin.

Peratusan isi rumah miskin dalam keseluruhan bilangan isi rumah yang terdapat di Malaysia dirujuk sebagai insiden kemiskinan.

Secara ringkasnya, kedua-dua konsep ini mempunyai implikasi politik dan sosial yang berbeza berdasarkan fokus dan matlamat pengukuran yang berbeza iaitu konsep kemiskinan mutlak mempunyai hubungan dengan konsep keperluan asas, manakala kemiskinan relatif merujuk kepada agihan pendapatan.

Oleh itu konsep kemiskinan relatif ini boleh menjelaskan lagi keadaan sosioekonomi masyarakat iaitu ketaksamaan ekonomi dan sosial dalam sesebuah masyarakat berbanding konsep kemiskinan mutlak.”

Sekiranya pemimpin-pemimpin parti politik mahu mendapatkan mandat rakyat, penting bagi mereka untuk memahami apa yang harus dilakukan untuk ‘memerdekakan’ setiap golongan masyarakat terkesan.

Sesebuah negara merdeka harus menoktahkan kemiskinan sejajar dengan usaha pembangunan. Pengkaedahan yang dipelopori di United Kingdom, yang dikenali sebagai pendekatan Minimum Income Standard atau Piawaian Pendapatan Minimum (MIS), dapat memberikan jawapan persoalan taraf asas kehidupan melalui kaji selidik kumpulan fokus secara sistematik dan empirikal dengan mengetahui bagaimana ahli masyarakat biasa berfikir tentang apakah yang merangkumi keperluan asas.

Jiwa rakyat Malaysia belum benar-benar merdeka selagi kita membenarkan diri dimanipulasi mereka yang sedang bermain kuasa. Ingatlah tanggungjawab anda sebagai seorang khalifah di muka bumi untuk menentang sebarang kezaliman demi kesejahteraan semua insan.

Adii Amin
Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh

 

*Artikel ini memaparkan pandangan pembaca dan tiada ada kena mengena dengan pendirian portal kami. – MG

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast