Tertuduh, Muhammad Anuar Md Zin, 38, (kanan) mengaku tidak bersalah melakukan penipuan bagi mendapatkan bayaran balik emolumen berjumlah lebih RM154,000, sejak tujuh tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan bagi mendapatkan bayaran balik emolumen berjumlah lebih RM154,000, sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Anuar Md Zin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan empat individu untuk mempercayai  resit rasmi bagi maksud pembayaran balik emolumen imbuhan tetap perumahan (ITP), elaun bantuan kos sara hidup (COLA) dan sejumlah elaun kakitangan awam (EKA) kerana peletakkan jawatan JAIM-KPM (1/12/2016 – 30/11/2018) keseluruhannya berjumlah RM154,864.40 adalah tulen.

Kesalahan itu dilakukan antara 8 November 2017 hingga 19 Julai 2018 di Pejabat Bahagian Sumber Manusia 2, JAIM dalam daerah Melaka Tengah yang mana mereka tidak akan menyerahkan harta itu sekiranya tidak diperdaya sedemikian.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Melaka, Nur Syakila Yaacob mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Mohd Nazri Abd Hamid memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya seoeang bapa tunggal kepada tiga orang anak dan perlu menjaga ibu bapanya yang uzur.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Elesabet membenarkan jumlah jaminan berkenaan dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri sekali sebulan di pejabat SPRM Melaka.

Mahkamah menetapkan 15 September ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette