KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang perlahan dengan prospek ekonomi jangka pendek negara yang menyederhana, kata Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Namun, menurutnya, langkah dasar ekonomi yang bersasar dijangka dapat mengimbangi cabaran sedia ada dalam ekonomi dan meningkatkan keyakinan pengguna dan menambah baik perniagaan tempatan.

“Prospek ekonomi tersebut adalah selari dengan Indeks Pelopor (IP) yang menyusut 2.1 peratus pada Jun 2023 dengan mencatatkan 109.8 mata berbanding 112.1 mata pada tahun sebelumnya.

“Pada masa yang sama, perubahan bulanan IP menurun 0.5 peratus pada bulan rujukan berbanding 1.7 peratus pada Mei 2023,” katanya dalam kenyataan sorotan statistik ekonomi Malaysia siri 8/2023.

Melihat kepada senario ekonomi global, merujuk kepada laporan Julai 2023 daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), terdapat pengurangan dalam unjuran kadar pertumbuhan purata tahunan daripada 3.5 peratus pada 2022 kepada 3.0 peratus bagi kedua-dua tahun 2023 dan 2024.

Trend yang dijangka itu juga menunjukkan inflasi utama global mereda, dengan jangkaan lebih rendah daripada 8.7 peratus pada tahun 2022 kepada 6.8 peratus pada 2023, diikuti dengan kadar yang terus perlahan kepada 5.2 peratus pada 2024.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan peningkatan 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan.

Sementara itu, prestasi ekonomi bulanan meningkat sederhana sebanyak 0.7 peratus pada April, menokok kepada 5.6 peratus pada Mei, dan kemudian menyederhana 2.4 peratus pada Jun 2023.

Peningkatan sementara dalam penggunaan domestik dan permintaan global telah memacu pertumbuhan kukuh pada Mei 2023.

Mengulas lanjut mengenai indikator ekonomi terkini, beliau menambah, imbangan Akaun Semasa Malaysia terus mengekalkan lebihan sebanyak RM9.1 bilion pada suku tahun kedua 2023, berbanding RM2.9 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Lebihan ini disokong oleh eksport bersih barangan.

Pelaburan Langsung Asing (FDI) pula merekodkan aliran masuk bersih yang lebih rendah RM3.1 bilion berbanding RM18.0 bilion pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih RM8.0 bilion pada ST2 2023 berbanding RM14.4 bilion (ST2 2022).

Sebaliknya, jumlah perdagangan barangan Malaysia menyusut 11.3 peratus tahun ke tahun kepada RM643.2 bilion pada suku tahun kedua 2023.

Eksport merosot 11.1 peratus kepada RM348.7 bilion, manakala import menurun 11.5 peratus kepada RM294.5 bilion.

Lebihan dagangan menyusut 8.8 peratus kepada RM54.1 bilion.

Pada Julai 2023, perdagangan luar terus menyusut dengan jumlah dagangan sebanyak RM216.4 bilion, berbanding RM252.8 bilion pada Julai tahun lalu.

Nilai eksport merekodkan RM116.8 bilion, manakala import berjumlah RM99.7 bilion dengan lebihan dagangan RM17.1 bilion.

“Nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan kemerosotan 4.0 peratus kepada RM147.4 bilion tahun ke tahun pada Jun 2023. Pada suku kedua 2023, nilai jualan sektor pembuatan mengalami penurunan pertama sejak suku kedua 2020 (-16.5%), dengan pertumbuhan negatif 1.0 peratus berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya.

“Sejajar dengan itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia jatuh 2.2 peratus tahun ke tahun pada Jun 2023, disumbangkan oleh kemerosotan dalam sektor pembuatan dan perlombongan dengan masing-masing menurun 1.6 peratus (Mei 2023: 5.1%) dan 6.4 peratus (Mei 2023: 2.9%),” katanya.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat sebanyak 2.2 peratus berbanding 7.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Mengenai tenaga buruh semasa, beliau berkata, jumlah meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2023 kepada 16.73 juta orang.

Ini menyebabkan peningkatan 0.8 mata peratus dalam kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB), mencapai 70.0 peratus.

Bilangan penduduk bekerja terus meningkat walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.8 peratus kepada 16.15 juta orang pada suku tersebut, dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk
mencapai 67.5 peratus.

Pada masa yang sama, bilangan penganggur berkurangan sebanyak 9.5 peratus kepada 581, 400 orang dengan kadar pengangguran mencatatkan 3.5 peratus.

Dari perspektif harga, inflasi Malaysia pada Jun terus menyederhana kepada 2.4 peratus, merupakan paras terendah yang dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama 2023.
Namun begitu, inflasi meningkat 2.8 peratus pada suku kedua 2023.

Inflasi Malaysia pada Julai 2023 terus mereda kepada 2.0 peratus dengan mata indeks direkodkan pada 130.5 berbanding 127.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus menurun4.8 peratus pada Jun 2023 berbanding penurunan 4.6 peratus pada bulan sebelumnya dengan kebanyakan indeks sektor
menunjukkan trend penyusutan.

Pada suku tahun kedua 2023, IHPR bagi pengeluaran tempatan menyusut 4.1 peratus dipengaruhi terutamanya oleh sektor pertanian, perhutanan & perikanan (-24.6%).

Pada Julai 2023, IHPR Malaysia merosot 2.3 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast