Gambar hiasan. Foto Hindustan News Hub

NEW DELHI – Kementerian Hal Ehwal Luar India memutuskan untuk membenarkan eksport beras ke Singapura.

India dan Singapura menikmati perkongsian strategik yang sangat rapat, berasakan kepada kepentingan bersama, hubungan ekonomi dan hubungan rakyat yang kukuh, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Memandangkan hubungan istimewa ini, India telah memutuskan untuk membenarkan eksport beras memenuhi keperluan keselamatan makanan Singapura.

“Arahan rasmi berhubung perkara ini akan dikeluarkan tidak lama lagi,” kata jurucakap kementerian itu.

Bulan lalu, India mengejutkan pembeli dengan mengenakan larangan ke atas eksport beras putih bukan basmati yang digunakan secara meluas.

Eksport beras putih bukan basmati menyumbang kira-kira satu per empat daripada jumlah eksportnya.

Langkah itu demi “memastikan ketersediaan yang mencukupi” dan “meredakan kenaikan harga dalam pasaran domestik”, kata kementerian hal ehwal pengguna dan makanan negara itu.

India, yang sedang bergelut dengan kenaikan inflasi menjelang pilihan raya negeri akhir tahun ini, pada Jumaat juga memperluaskan sekatan ke atas eksport beras dengan duti 20 peratus ke atas beras masak berkuat kuasa sehingga 15 Oktober.

India menyumbang lebih daripada 40 peratus daripada eksport beras dunia, dan inventori yang rendah dengan pengeksport lain bermakna sebarang pemotongan dalam penghantaran boleh meningkatkan lagi harga makanan yang sudah didorong oleh pencerobohan Rusia ke Ukraine tahun lepas dan cuaca tidak menentu.

Pada Julai, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, Singapura berhubung rapat dengan pihak berkuasa India untuk mendapatkan pengecualian daripada larangan negara itu terhadap eksport beras bukan basmati.

India menyumbang kira-kira 40 peratus daripada beras import Singapura pada 2022, kata SFA. – Agensi