Petronas Sarawak
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bercakap pada sidang media mengenai laporan kewangan Petronas separuh tahun pertama 2023 di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Petronas akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi membangunkan aset minyak dan gas di negeri berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, komitmen itu adalah selaras dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Menurut beliau, Petronas sangat berminat untuk membangunkan medan-medan minyak dan gas seperti yang terkandung dalam perjanjian penyelesaian komersial (CSA) yang dimeterai syarikat berkenaan dengan kerajaan Sarawak pada Disember 2020.

“Perbincangan masih diteruskan. Kita mempunyai wakil kerajaan Sarawak dalam Lembaga Pengarah Petronas manakala penyelarasan dilakukan melalui platform-platform yang dipersetujui.

“Dialog dilakukan secara rasmi dan tidak rasmi, jadi saya tidak tahu mengapa digambarkan seolah-olah ada syarikat lain akan menggantikan Petronas,” katanya dalam sidang media di Menara Berkembar Petronas di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu kenyataan berharap Shell akan menjadi rakan kongsi negeri itu dalam usaha membangunkan sumber minyak dan gasnya.

Sebelum itu, pada 19 Ogos, Abang Johari menegaskan, hasil minyak dan gas dari perairan Sarawak mesti dibahagi sama rata antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB).

Tengku Muhammad Taufik menambah, CSA tersebut memang menyentuh perkara-perkara berkaitan penyertaan dalam aktiviti huluan.

Malah, beliau memberitahu, had penyertaan 50 peratus bagi Petronas bagi aset-aset di Sarawak sememangnya dinyatakan dalam CSA tersebut.

Tengku Muhammad Taufik berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini, terdapat lima medan baharu yang ditemukan di pesisir Sarawak dan ia dipercayai mempunyai rizab yang besar.

“Kita akan terus bekerjasama dengan mereka secara mesra dan bersikap komersial,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast