Tertuduh, Ahmad Baba, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan memukul jirannya sehingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta minggu lalu.

MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memukul jirannya sehingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Baba, 53, yang masih bujang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Zulhelmi Md. Yusof, 42, menggunakan batang pengunci stereng kereta sepanjang 54 sentimeter yang mana jika digunakan dengan salah boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 6.22 petang 22 Ogos lalu di sebuah rumah bernombor, Jalan Kesidang 2/17, Lorong Pandan dalam daerah Melaka Tengah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mangsa adalah jiran bersebelahan rumahnya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia bertindak demikian kerana mangsa sebelum ini pernah mengancam nyawanya dan dia tidak gila untuk memukul jirannya itu sesuka hati.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette