ROM – Sekurang-kurangnya lima orang maut selepas sebuah kereta api merempuh pekerja kereta api dalam kelajuan tinggi berhampiran sebuah stesen di Itali.
Pekerja yang berumur antara 22 dan 52 tahun itu sedang menggantikan sebahagian trek ketika tragedi itu berlaku.
Mereka telah bekerja di laluan antara Turin dan Milan apabila kereta api penumpang yang kosong melalui stesen Brandizzo pada kelajuan yang dilaporkan 160 kilometer sejam.
Datuk Bandar Paolo Bodoni yang menyifatkan kejadian itu sebagai “menyeramkan” dan “tragedi besar” berkata, siasatan sedang dijalankan.
Dua pekerja terselamat tanpa cedera tetapi dibawa ke hospital untuk pemerhatian.
Manakala pemandu kereta api itu dirawat di tempat kejadian kerana terkejut tetapi kemudian dihantar pulang.
Dia dijangka disoal siasat kemudian.
Dalam satu kenyataan, rangkaian kereta api Itali (RFI) menyatakan “kesedihan yang mendalam” atas kejadian itu, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Media Itali melaporkan, para pekerja berkenaan telah menggantikan kira-kira 10m trek apabila kereta api kosong yang mengangkut sedozen gerabak melalui stesen Brandizzo dengan kelajuan tinggi.
Sebahagian daripada mangsa telah diseret ratusan meter di sepanjang trek. – Agensi