Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormat utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2023.

PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kemeriahan sambutan bukan hanya dirasai oleh rakyat daripada pelbagai negeri bahkan dalam kalangan pemimpin negara yang hadir memeriahkan acara pada hari ini.

Jelas beliau, kehadiran serta sokongan orang ramai dalam acara ini membuktikan semangat patriotik yang kekal subur dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai latar belakang.

“Ada  yang datang seawal lepas maghrib semalam.  Ada dari Kedah, Perak, dari jauh dan dekat memang menambahkan seri acara kita hari ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan selesai.

Sehubungan itu, Fahmi mengucapkan penghargaan kepada warga KKD yang bertungkus lumus berusaha menjayakan sambutan pada hari ini sejak Febuari yang lalu.

Sebagai rekod, sambutan kali ini dimeriahkan dengan persembahan Tim Akrobatik Army Red Warrior Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan penglibatan 42 orang peserta dan penampilan khas 66 buah motosikal Royal Enfield.

Turut dipamerkan  aksi terjunan tepat VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM), persembahan 400 pergendangan, 36 kumpulan pancaragam dan persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 bertajuk “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” oleh 1,500 orang peserta.

Acara perbarisan dan perarakan dijayakan oleh 17,262 orang peserta melibatkan 67 kontinjen yang dibahagikan kepada sembilan komponen iaitu kenegaraan, perpaduan Malaysia Madani, ekonomi, perbankan, telekomunikasi, industri kreatif dan penyiaran, sukan negara, kesejahteraan serta keselamatan negara.

Selain itu, turut dipertontonkan ialah 534 aset kenderaan taktikal pelbagai guna serta aset haiwan sebanyak 100 ekor. – MalaysiaGazette