PUTRAJAYA – Putrajaya mulai sesak dibanjiri orang ramai yang datang untuk bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan 2023  pada pagi ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati jalan raya di kawasan tersebut mulai dipenuhi kenderaan sejak jam 3 pagi tadi.

Difahamkan ada juga yang sudah tiba di Dataran Putrajaya sejak 10 malam tadi.

Ini kerana, sebanyak 22 jalan yang akan ditutup bermula jam 5 pagi tadi sehingga acara perbarisan selesai dan dijangka berakhir pada jam 11 pagi.

Menariknya, mereka turut berpakaian dengan corak Jalur Gemilang, tidak kurang juga yang membawa bendera di tangan.

Tidak kira kaum, mahupun peringkat umur, masing-masing kegirangan untuk bersama-sama menyertai acara bersejarah negara.

Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66 tahun ini diadakan di Dataran Putrajaya dijangka dihadiri kira-kira 100,000 orang.

Tema Hari Kebangsaan pada kali ini adalah Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Sebanyak 36 kumpulan pancaragam akan mengiringi acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023 yang bermula  jam 7 pagi.

Sebagai rekod, Putrajaya sebelum ini menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun 2003, 2005, 2018 dan 2019.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast