KUALA LUMPUR, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengumumkan pelantikan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Pengerusi PUNB berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Ahmad Nazlan Idris yang telah melepaskan jawatan pengerusi pada 20 Disember 2022.

Acryl Sani adalah mantan Ketua Polis Negara Ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023.

Ketika ini, beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Berhad.

Ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, Acryl pernah memegang pelbagai jawatan seperti Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), selain pernah menjadi Ketua Polis Negeri Perak pada 2013 serta Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Beliau memiliki Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Acryl dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

“Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan Tan Sri Acryl dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan bumiputera di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast