Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya di seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 berkuatkuasa hari ini.

Ia sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa, kata BERNAS dalam satu kenyataan.

“BERNAS telah mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

“Faktor-faktor ini secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini,” katanya.

BERNAS telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini.

BERNAS turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi menjamin bekalan beras yang stabil untuk Malaysia kerana keselamatan makanan Negara dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan kami.

“Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, BERNAS kekal utuh dan berdaya saing. Kami turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk. Ini adalah peranan kami sebagai gatekeeper tunggal bagi padi dan beras negara,” kata kenyataan yang sama.

BERNAS kekal komited untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi, bertindak sebagai “penyerap kejutan” bagi menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa dari melanda negara.

BERNAS akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast