Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diiringi Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail (dua kiri) ketika hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatanjuasa Penasihat Kolej Komuniti Negeri Johor di Holiday Villa Hotel, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 01 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Keserasian semua parti dalam gabungan  Kerajaan Perpaduan menghadapi  Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram  perlu diurus dengan baik.

Perkara itu menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak boleh dipandang ringan ketika ini.

Bagaimanapun jelasnya, keserasian itu dapat dilihat dalam menghadapi PRK pada 9 September ini.

“Di Johor tak ada terlibat dengan Pilihan Raya Negeri namun pada kali ini, yang pertamanya kita nak uruskan keserasian antara parti yang bersama mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Kedua, pada kali ini, saya sebutkan banyak kali Barisan Nasional (BN) tidak bertanding jadi penyokong tegar BN mungkin tengok apabila BN tidak bertanding, dia mungkin tak tahu siapa yang dia nak dan perkara ini kita perlu uruskan juga.

“Kita tidak boleh ambil sambil lewa apabila kita tak ada, kepimpinan sokong PH, maka kita anggap semua akan turut memberi sokongan. Kalau dia tidak faham lagilah kita tidak akan dapat mencapai matlamat kita.

“Ini pertama kali setelah sembilan bulan lepas kita lawan maka kita perlu urus keserasian dan ini satu perkara kita tak boleh pandang ringan lebih lagi kita dapat pengalaman kita pilihanraya lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyaksikan Penyerahan Surat Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Kolej Komuniti Johor  di sini hari ini.

Jelas Mohamed Khaled, keserasian antara jentera juga saban hari bertambah baik.

Pada peringkat akar umbi BN pula, jentera serta kepimpinan parti akan terus  memberi penjelasan agar kefahaman mengenai Kerjasama gabungan Kerajaan Perpaduan dapat diterjemahkan kepada pengundi di kedua-dua kawasan.

Ini kerana beliau mengakui masih ramai dalam kalangan pengundi yang sebelum ini  menyokong parti itu keliru untuk membuat pilihan berikutan ketiadaan wakil UMNO dan BN bertanding kali ini.

“Situasi sangat okey apabila kita membuat pertemuan memang ada respon yang baik dan menerima. Memang ada juga yang mungkin tidak berganjak tetapi pada saya, itu hakikat yang kita kena terima.

“Tak berganjak maknanya dia masih keliru dan terus keliru. Peratusan yang masih keliru saya tak dapat nak beritahu.Oleh kerana ini PRK maka kita ada kelebihan dari segi kita meletakkan di setiap pusat daerah mengundi itu UMNO bahagian.

“Ada bahagian daripada luar yang sama-sama cover di PDM. Jadi ianya menyeluruh di semua PDM dan tak ada PDM yang tertinggal. Memang ada UMNO angkat dan bahagian angkat di sekitar negeri Johor yang memainkan peranan bersama-sama jentera tempatan,” ujarnya.

Untuk itu, menurut beliau, semua jentera parti perlu memainkan peranan  untuk memperjelaskan  kepada pengundi, sekaligus mengelak mereka terus keliru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast